Jenayah

Isu bauksit: Amaran kerajaan negeri berkesan

KUANTAN – Amaran kerajaan negeri terhadap pengusaha lombong dilihat berkesan apabila aktiviti pemunggahan semakin berkurangan sekali gus memberi keselesaan kepada penduduk setempat.

Rata-rata penduduk setempat terutamanya di sekitar Bukit Goh mampu menarik nafas lega dengan amaran yang dikeluarkan itu, malah tiada lagi kesesakan berlaku di kawasan perkampungan mereka itu.

Salah seorang penduduk, Ishak Abdullah, 46, berkata walaupun kerja-kerja pemunggahan masih lagi dilakukan, namun kebanyakan pengusaha bauksit di kawasan tersebut dilihat telah mengehadkan aktiviti tersebut.

“Jika dulu kawasan ini sesak dengan aktiviti mengangkut bauksit, tetapi kini, kerja mengangkut bahan mineral tersebut semakin berkurangan malah pergerakan lori berkenaan agak sistematik.

“Saya percaya perubahan ini berlaku selepas kerajaan memberi amaran dan akan mengambil tindakan kepada pengusaha yang gagal mematuhi syarat ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, amaran sedemikian sepatutnya telah lama diberikan kepada pengusaha bagi membolehkan mereka melakukan kerja tanpa melanggar peraturan yang ditetapkan.

Katanya, jika pengusaha berterusan bertindak sebegini, beliau yakin pencemaran di kawasan ini dapat dikurangkan.

“Debu dan lumpur tetap ada bila musim hujan, tapi bila ada penguatkuasaan sebegini ia dapat mengurangkan pencemaran berbanding sebelum ini. Jadi, rakyat tidak akan merungut lagi sekiranya pengusaha lombong mematuhi syarat yang ditetapkan,” katanya.

Ishak memberitahu agensi berkaitan perlu beri kerjasama mempergiatkan penguasaan dan pengawalan di kawasan perlombongan dikenal pasti.
“Amaran dah dikeluarkan dan agensi terlibat sepatutnya memainkan peranan memantau bukannya membiarkan aktiviti pemunggahan ini. Saya bimbang amaran ini hanya dipatuhi seketika,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Rahmat Marzuki Abd Razak, 46, berpendapat aktiviti pemunggahan bauksit di kawasan itu masih beroperasi seperti biasa, namun kerja memunggah bahan itu semakin berkurangan.

“Sebelum amaran, aktiviti memunggah tak dapat dibendung dan menyusahkan penduduk dengan kesesakan lalu lintas. Tapi kini ada sedikit perubahan, tapi tak yakin berapa lama peraturan dipatuhi,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");