Isu Panas

Isu GST bukan punca undi merosot

SHAH ALAM – Isu GST bukan faktor utama yang menyebabkan kemerosotan undi majoriti kemenangan BN di Parlimen Rompin daripada 15,114 pada PRU13 kepada 8,895 undi.

Dekan Pembangunan Pelajar, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Dr Mohammad Fuad Othman berkata, walaupun GST adalah satu isu yang dekat dengan hati rakyat, tetapi bukan faktor besar untuk pengundi Rompin menolak BN.

“Jika kita mahu melihat senario sebenar penolakan pengundi terhadap kerajaan kerana melaksanakan GST, kita perlu melihat kepada satu pilihan raya yang diadakan di kawasan bandar. Hal ini kerana kebanyakan pengundi yang berada di bandar lebih terkesan dengan cukai berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Mohammad Fuad berkata, jumlah pengundi luar yang pulang mengundi turut menjadi faktor penurunan majoriti kemenangan BN.

Menurutnya, jumlah keluar mengundi pada PRK Rompin hanya 74 peratus daripada keseluruhan 53,294 pengundi berbanding 86 peratus pada PRU lalu.

“Kemungkinan besar majoriti pengundi BN tidak pulang ke kampung berbanding pengundi luar pembangkang. Kita boleh katakan atas faktor majoriti besar yang dimenangi sebelum ini menyebabkan pengundi luar BN tidak pulang ke kampung halaman mereka untuk mengundi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, soal kepatuhan kepada parti mungkin menjadi tunjang kepada peningkatan undi Pas di Rompin.

“Sesuatu yang menarik bila kita perhatikan mengenai Pas kerana pengundi-pengundi mereka mempunyai semangat tinggi untuk menang. Dalam apa jua pilihan raya mereka melakukan yang terbaik untuk menang,” katanya.

Mengenai kemenangan Pas di beberapa peti undi di kawasan Felda, Mohammad Fuad berkata, isu rumah mampu milik bagi generasi muda antara faktor yang menyebabkan peningkatan undi parti tersebut.

“Isu mengenai harga rumah mampu milik oleh kerajaan telah menyebabkan Pas berjaya mengambil peluang untuk mendapatkan sokongan pengundi muda.

“Saya rasa, rakyat suka kepada sesuatu yang pasti dan berharap keputusan tidak berubah-ubah. BN perlu mengkaji semula perkara ini sekiranya mahu mendapatkan sokongan teguh daripada warga Felda,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, BN berkemungkinan berhadapan tugas sukar di Rompin pada PRU akan datang susulan kemerosotan majoriti undi mereka.

“Kita lihat sokongan golongan muda terhadap Pas di Rompin semakin meningkat, ini dibuktikan melalui kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan saluran tiga dan empat pusat mengundi menunjukkan peningkatan.

“Walaupun kemenangan tidak mengubah apa-apa, tetapi BN perlu mencari jalan untuk mendapatkan semula sokongan golongan muda ini,” katanya.

Beliau berkata, jumlah keluar mengundi yang merosot mungkin antara faktor menyebabkan pengurangan majoriti undi BN.

“Namun begitu, jika dilihat kepada jumlah kemenangan BN, mereka telah hilang banyak undi jika dibandingkan dengan Pas,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");