Sukan Hari Ini

Janji menang

HASRAT penyokong Malaysia mahu menyaksikan kelibat skuad bawah 23 negara dalam misi membedil kubu Timor Leste aksi pertama kempen bola sepak Kumpulan B Sukan Sea 2015 tidak kesampaian apabila sekadar mencatatkan kemenangan 1-0 di Stadium Bishan, Singapura malam semalam.

Tampil dengan misi tiga mata skuad kendalian Ong Kim Swee terlebih dulu di depan hasil jaringan menarik pemain sayap Pahang, D Saarvindran seawal minit ke-12.

Gol itu nyata membangkitkan semangat juang pemain negara untuk mengasak kubu lawan mengikuti jejak juara bertahan Thailand dan Vietnam memulakan kempen masing-masing dengan kemenangan bergaya 6-0 ke atas Laos dan Brunei kelmarin.

Namun rentak skuad negara sedikit terjejas pada minit ke-32, selepas pemain Selangor, Nazmi Faiz Mansor dilayangkan kad merah pengadil perlawanan dari Singapura, Foo Chuan Hui kerana didakwa meludah pemain Timor Leste.

Namun anak buah Kim Swee tidak goyah biarpun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas itu untuk kedudukan Malaysia mendahului Timor Leste separuh masa pertama.

Separuh masa kedua Kim Swee melakukan beberapa pertukaran dengan memasukkan S Kumaahran, Nazirul Naim dan Saiful Ridzuwan Selamat masuk mengantikan Syafiq Ahmad, Nurridzuan Abu Hassan dan Gary Steven.

Sementara itu, Kim Swee berkata, dia percaya pemainnya boleh bermain lebih baik jika beraksi 11 pemain sepanjang perlawanan.

“Kita beraksi baik ketika bermain 11 pemain dan masih mampu mencipta beberapa peluang ketika beraksi 10 pemain. Tapi pada akhirnya, apabila 10 lawan 11, pasti usaha keras perlu dilakukan para pemain.

“Apa pun, saya tak kisah sangat kita hanya menang 1-0, selagi kita berjaya meraih tiga mata penuh. Itu yang lebih penting. Sudah tentu semalam Thailand dan Vietnam mencatat kemenangan besar 6-0 tetapi mereka tetap dapat tiga mata, bukannya enam mata.

“Terlalu awal untuk saya mengatakan mengenai perlawanan bertemu Vietnam. Biar kita cerita perlawanan malam ini terlebih dahulu.

“Tanpa Nazmi bertemu Vietnam, tiada masalah kerana tiada bintang dalam pasukan ini. Jika dia benar melakukan kesalahan dan digantung beberapa perlawanan, saya akan hantar dia pulang ke tanah air,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");