Sukan Hari Ini

JDT beri Gomez kepercayaan penuh

JOHOR BAHRU – PenGENDALI baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez yang menggantikan Bojan Hodak diberi kepercayaan penuh untuk melakukan rombakan bagi memantapkan lagi prestasi kesemua pasukan di bawah JDT.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, kepakaran dan pengalaman luas bekas pembantu jurulatih kelab Valencia dan Inter Milan itu amat diperlukan bagi membimbing pemain JDT untuk jangka masa panjang.

“Tumpuan Gomez bukan sahaja memastikan kemenangan pasukan utama JDT, malah pasukan JDT II hingga JDT V yang sekarang banyak menunjukkan keputusan perlawanan yang teruk.

“Sebab itu saya beri sokongan dan kepercayaan penuh kepada beliau untuk melakukan rombakan. Apa yang beliau rasakan tidak betul harus diperbetulkan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini semalam.

Tunku Ismail berkata, fokus utama JDT sekarang ialah program pembangunan bola sepak di negeri ini untuk jangka masa panjang dan bukan sekadar menumpukan terhadap keputusan perlawanan semata-mata.

Justeru, dengan bantuan pembantu jurulatih Raul Marcos Longhi dan Ismail Ibrahim, jurulatih dari Argentina itu diharap dapat memastikan ke­langsungan pembangunan bola sepak di negeri ini berjalan lancar dan terus cemerlang.

Mengulas status pemain dari Sierra Leone, Alhaji Kamara, Tunku Ismail berkata, perkara itu akan ditentukan oleh Gomez dan beliau akan menyokong sebarang keputusan yang bakal dibuat.

Sementara itu, ditanya tentang perlawanan menentang Felda United di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam ini Gomez mengakui kemenangan pertama bersama JDT menjadi buruannya meskipun baharu sahaja bersama pasukan itu.

“Saya pernah melihat pasukan ini bermain sebanyak dua kali sebelum ini. Pasukan ini memiliki beberapa pemain yang bagus seperti nombor lapan (Safiq Rahim), nombor tujuh (Aidil Zafuan), Marcos (Antonio), Luciano (Figueroa) dan pemain baharu iaitu Patito Rodriguez.

“Saya akan berbincang dengan Ismail untuk me­rancang strategi dan kami akan mengenal pasti pemain yang akan diturunkan dalam perlawanan itu nanti,” katanya.

Tunku Ismail turut mengucapkan tahniah kepada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang memenangi salah satu daripada tiga kerusi Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mewakili Asia untuk penggal 2015-2019. – http://www.utusan.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");