Laporan Eksklusif

Jepun tunjuk minat dalam industri halal

TOKYO – Perniagaan Jepun, yang selama beberapa dekad ini merupakan antara pelabur terbesar di Malaysia, semakin menunjukkan minat dalam industri halal dan kewangan Islam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata ketika ini Malaysia merupakan pasaran sukuk terbesar dunia dan juga negara pertama di dunia memperkenalkan Taman Halal atau estet perindustrian halal khusus.

Sejak 2010, taman-taman halal ini berjaya menarik pelaburan bernilai US$2.36 bilion (RM8.8 bilion) dari Amerika Syarikat, Itali, Taiwan dan Singapura, kata Najib.

“Saya gembira untuk menyatakan bahawa lebih banyak perniagaan di Jepun sekarang yang nampaknya mula menyedari peluang besar yang tersedia di Malaysia,” katanya dalam ucapan beliau pada mesyuarat meja bulat dengan 34 ketua-ketua industri di sini.

Beliau juga berkata, semakin banyak syarikat dari Jepun yang menjalankan projek berkaitan pengiklanan dan kejuruteraan di Malaysia di samping bergiat cergas dalam perkhidmatan kewangan dengan Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ, Mizuho Corporate Bank dan Sumitomo Mitsui Banking Corp, merupakan antara pemain utama dalam industri itu.

Turut hadir pada mesyuarat meja bulat itu ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Mikio Sasaki, Presiden Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia (Jameca), Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris dan presiden serta ketua pegawai eksekutif beberapa syarikat utama Jepun.

Najib, yang sedang dalam rangka lawatan selama tiga hari ke negara ini berkata 2014 merupakan tahun pecah rekod bagi Malaysia berkaitan dengan pelaburan.

Negara berjaya menarik pelaburan berjumlah US$68 bilion (RM244.28 bilion) dalam dan juga luar negara, manakala jumlah perdagangan meningkat sebanyak dua peratus kepada US$445 bilion (RM1.598 trilion) pada 2014.

Perdana Menteri berkata, eksport juga meningkat sebanyak 2.5 peratus kepada US$235 bilion (RM844.21 bilion), manakala import naik sebanyak 1.4 peratus kepada US$210 bilion (RM754 bilion).

Najib berkata, ekonomi Malaysia yang pelbagai, inflasi rendah, keadaan pasaran buruh yang kukuh dan sistem perbankan mapan menyediakan persekitaran kondusif bagi perniagaan untuk berkembang.

Justeru itu, beliau berkata, kini merupakan masa yang sesuai bagi Jepun untuk bekerjasama malahan lebih erat lagi dengan Malaysia, dan sudah tentunya Asean, memandangkan negara mencatatkan pertumbuhan kukuh pada enam peratus.

“Walaupun kedua-dua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi global 2015 masing-masing kepada 3.5 peratus dan 3.0 peratus, kita masih mencatatkan pertumbuhan suku pertama yang kukuh pada 5.6 peratus,” katanya.

Asas-asas ekonomi Malaysia telah diperkukuhkan menerusi Program Transformasi Ekonomi kerajaan dan beberapa langkah pembaharuan berani.

Ini termasuk meliberalisasikan ekonomi, menghapuskan subsidi dan meluaskan lagi asas cukai, yang hasilnya dapat dilihat menerusi rangking global negara bagi daya saing dan mesra perniagaan.

Najib juga berkata gelombang kedua Dasar Pandang Ke Timur Malaysia akan memberikan lebih tumpuan kepada kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara dengan penekanan utama bagi membangunkan sektor strategik seperti industri berteknologi tinggi dan perkhidmatan berkualiti tinggi.

“Kedua-dua pihak ketika ini sedang membincangkan butiran terperinci. Tetapi saya yakin inisiatif baharu ini akan mewujudkan pelbagai peluang dan perkongsian yang saling memberi manfaat antara satu sama lain,” katanya.

Dasar Pandang Ke Timur diperkenalkan Malaysia pada 1982, dan semasa pertemuan Najib dengan rakan sejawatnya Shinzo Abe pada Julai tahun lepas, kedua-dua negara bersetuju untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala menerusi gelombang kedua.

Lebih 15,000 rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada Dasar Pandang Ke Timur dan ketika ini kira-kira 2,250 pelajar Malaysia menyambung pelajaran kebanyakannya dalam kursus kejuruteraan, sains dan teknologi di seluruh Jepun. – Bernama

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");