Berita Hari Ini

Kaji semula GST ke atas tiket penerbangan

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Sabah berharap kerajaan persekutuan menimbang semula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas kos penerbangan melibatkan Sabah, Sarawak dan Semenanjung, dalam usaha meningkatkan integrasi nasional.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata caj GST bagi perjalanan udara sememangnya memberi kesan kepada pelancongan tempatan, yang dilihat memainkan peranan besar membentuk integrasi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Malah, katanya, dua pertiga daripada ketibaan pelancong ke negeri itu adalah rakyat tempatan, yang disifatkan amat penting kepada pembinaan dan pemerkasaan pelancongan negeri Sabah.

“Harga tiket ditambah enam peratus, di lapangan terbang bayar cukai kena lagi enam peratus. Saya harap kesan (kepada sektor pelancongan) tidak berpanjangan. Kerajaan harus pertimbang semula GST kepada kos tiket penerbangan untuk perjalanan Semenanjung ke Sabah Sarawak, bukan hanya untuk pelancongan tapi untuk pererat hubungan integrasi rakyat Malaysia.

“Saya sendiri telah menulis surat kepada yang berkenaan berhubung perkara ini untuk menggalakkan perjalanan (rakyat). Ia akan menjadi sumbangan terbesar ke arah integrasi nasional,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Matta Domestic Tourism Promotion anjuran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Masidi menegaskan bahawa Sabah masih selamat meskipun dihantui beberapa peristiwa hitam termasuk satu lagi insiden penculikan baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pihak keselamatan khususnya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) perlu memberi perhatian kepada mengenal pasti musuh-musuh yang telah berada di negeri itu, dan tidak hanya tertumpu kepada usaha menghalang kemasukan pihak yang diragui statusnya.

“Itu (penculikan) kejadian getir tapi merupakan pengajaran berguna kepada pihak keselamatan. Saya harap kerajaan akan fikirkan fokus meneliti mereka yang dah berada di Sabah secara sah atau tak. Sebab kita berdepan musuh di depan mata. Itu yang selalu jadi punca kepada masalah lebih berat.

“Untuk berlaku adil, polis sudah pun buat kerja yang baik. Cuma untuk kata benda seperti ini tak jadi adalah tak realistik. Di mana-mana negara pun kejadian jenayah seperti ini berlaku,” katanya dan menegaskan bahawa peristiwa seumpama itu tidak boleh menjadi penghalang usaha memajukan industri pelancongan khususnya di negeri Sabah.

Ditanya mengenai usaha mengembalikan keyakinan orang ramai khususnya pelancong ke negeri itu, Masidi berkata kerajaan negeri mengambil pendekatan berterus-terang dan memberi penerangan secara telus berhubung apa jua perkara yang menjadi persoalan ramai.

“Lebih telus kita uruskan masalah, lebih cepat orang luar punyai keyakinan kepada kita,” katanya.

Turut hadir ialah Presiden Matta Hamzah Rahmat, Pengerusi Penganjur Matta dan Naib Presiden Datuk K.L Tan serta Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab. -Bernama

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");