Sukan Hari Ini

Kajian sosial dorong Harris mengucap

Bermula sebagai pelajaran di kelas, pengenalan terhadap pelbagai agama membawa pemain American Football, Ryan Harris menuju hidayah-Nya.

Ryan, pemain yang memegang posisi ‘offensive tackle’ (menghalang pertahanan daripada menyekat gerakan penyerang) di Kansas City Chiefs, menghadiri kelas kajian sosial sewaktu di eighth grade apabila diperkenalkan terhadap agama termasuk Islam.

Apa yang diketahui mengenai Islam pada waktu itu hampir sama dengan pegangan keluarganya selama ini, membuatkan dia terbuka hati untuk memeluk agama suci itu.

“Ia benar-benar sebati dengan diri saya, asas ketenangan dan persefahaman. Ia mungkin bukan untuk orang lain tetapi tidak mengapa,” katanya yang kemudiannya memutuskan untuk mengucap dua kalimah syahadah.

“Ia lebih mudah kerana orang ramai memahami komponen agama dalam kehidupan, mereka faham bahawa pegangan agama adalah perkara yang dilalui sepanjang hari, bukan sesuatu yang anda lakukan seminggu sekali.

“Berada dalam persekitaran di mana mereka mengamalkan kepercayaan mereka dan menghargainya, begitu banyak peluang untuk mengamalkannya membuatkan mudah untuk saya rasa diterima dan melakukannya dengan cara sendiri.”

Ia secara tidak langsung memberi kesan terhadap perjalanan karier Harris dalam sukan terbabit, malah bersyukur apabila agama yang baru dianuti itu melindunginya daripada pelbagai cabaran ketika meningkat remaja.

Mula mengenali sukan itu apabila menonton perlawanan pasukan Minnesota Viking bersama keluarga, Harris menjadikan bapanya yang pernah bermain football di kolej mewakili University of Wisconsin-Stout, sebagai pakar rujuk.

Perlahan-lahan dia belajar mengenai sukan itu dengan lebih mendalam namun dia merasai cabaran sebenar ketika berada di eighth grade.

Sebaik tamat pembelajaran di Cretin-Durham Hall in St Paul, Harris berdepan dilema sama ada mahu melanjutkan pelajaran di Notre Dame, Indiana ataupun Miami.

Mengaku sukakan kehidupan di Miami, membuatkan Harris mahu melanjutkan pelajaran di sana namun atas nasihat keluarganya, dia memutuskan untuk ke Universiti Notre Dame.

Ternyata ia bukan satu pilihan yang silap buat pemain yang pernah menyertai rancangan MTV, ‘True Life’, menerusi dokumentari ‘I Want a perfect Body’ demi mendapat tubuh yang tegap sesuai untuk sukan lasak terbabit dan disebabkan itu pernah dijadikan bahan jenaka di universiti.

Meskipun universiti berkenaan dianggap sebagai univeristi Roman Katolik terbaik di negara itu, namun ia langsung tidak menggugat akidah pemain berkenaan.

Namun lebih menggembirakannya, suasana di universiti berkenaan memberi ruang kepadanya untuk menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim.

“Ini tempat terbaik untuk sesiapa saja, dengan apa saja kepercayaan sekalipun,” kata Harris yang kagum dengan disiplin diterapkan di universiti terbabit.

“Saya sukakan pendidikan moral yang diajar di sekolah ini yang tidak diajar di sekolah lain.” Tidak cukup dengan itu, universiti berkenaan juga mempunyai persatuan pelajar Muslim sendiri, satu bonus buat Harris.

“Notre Dame melakukan tugas yang baik dengan mengambil saya, memperkenalkan saya kepada komuniti Muslim di sini,” katanya.

Atlet yang berminat menceburi bidang politik itu kemudian melakar karier sebagai pemain liga profesional bersama pasukan Denver Broncos, Philadelphia Eagles, Houston Texans sebelum menyertai Kansas City Chiefs tahun lalu.

Bergelar pemain profesional, Harris mengakui cabaran mengharungi pertandingan yang ada kalanya berlangsung ketika Ramadan menyebabkan dia terpaksa menggantikan ibadah itu.

Namun itu tidak bermakna dia mengabaikan intipati Ramadan sebagai bulan ibadah dan kebajikan.

Sebelum melaporkan diri ke kem latihan, dia bertungkus lumus membantu memberi makan kepada golongan gelandangan di kampung halamannya, St Paul, Minnesota dan tentu sekali menjalani ibadah puasa.

“Saya tidak dapat berpuasa ketika kem latihan. Ia sesuatu yang sukar tetapi saya mempunyai pilihan: membantu golongan miskin, menyumbang kepada badan kebajikan dan memberi makanan kepada mereka yang kelaparan.

Semua orang boleh memberi sumbangan. Ramadan adalah bulan untuk menilai diri, menyusun kembali keutamaan dan memberi tumpuan kepada apa yang penting.

Ia menjadikan saya seorang pemain yang lebih baik.” – http://www.hmetro.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");