Sukan Hari Ini

‘Kami mahu 10 terbaik dunia’

SELEPAS menampilkan aksi cemerlang pada Piala Sudirman di Dongguan, China, dua minggu lalu, beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying kini memasang misi lebih besar mahu menempatkan diri dalam kelompok 10 pasangan terbaik dunia menjelang penghujung tahun ini.

Peng Soon mengakui, selepas melihat aksi konsisten yang dipamerkan mereka, dia merasakan bahawa keyakinannya semakin menebal dan sentiasa bersemangat untuk berlatih.

“Saya sudah nampak di mana sasaran kami selepas ini, jika kami berjaya mengekalkan prestasi yang sama saya yakin kami mampu berada dalam kalangan 10 beregu campuran terbaik dunia,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara baru-baru ini.

Peng Soon bagaimanapun mengakui mereka juga perlu memperbaiki beberapa kelemahan sebelum boleh mendabik dada sebagai antara beregu 10 pasangan terbaik dunia.

Paling ketara katanya, adalah memperbaiki teknik bertahan dan kawalan gelanggang serta persefahaman bersama Goh Liu Ying.

“Dua perkara yang perlu digilap lagi iaitu bertahan dan bagaimana untuk bermain di depan jaring selepas itu barulah kami boleh menjadi pasangan beregu yang konsisten.

“Apa pun, buat masa ini saya tidak boleh fikir pasang terlalu besar seperti menjadi juara kerana permainan kami belum cukup bagus.

“Apa yang penting adalah terus bekerja keras dan mengelakkan kecederaan berlaku,” katanya.

Pasangan itu yang kini menghuni ranking ke-71 dunia menampilkan persembahan luar biasa apabila membantu Malaysia melangkah ke suku akhir selepas mengalahkan Korea Selatan dan India pada peringkat kumpulan.

Peng Soon-Liu Ying beraksi cemerlang di Dongguan dengan melakukan kejutan ke atas beregu nombor lapan dunia, Ko Sung Hyun-Kim Ha Na pada perlawanan pertama peringkat kumpulan sebelum sekali lagi menjadi penyelamat dengan menewaskan pasangan India, Sikki Reddy-Arun Vishnu.

Mahu langkah kanan

Menjelang Siri Super Terbuka Australia yang akan bermula esok, tiada apa yang diharapkan Peng Soon selain memulakan langkah kanan pada kejohanan tersebut.

Menurut Peng Soon, beliau perlu berusaha sebaik mungkin untuk mara ke undian utama dan memastikan sekurang-kurangnya mara ke suku akhir.

“Kalau anda tanya mengenai sasaran saya sudah tentu saya tidak boleh cakap menjadi juara kerana melihat kepada undian, ia lebih sukar.

“Saya perlu bekerja keras jika mahu ke final.

“Saya juga perlu realistik dan kalau terus berkata menjadi juara ia tidak realistik pula, lagipun saya perlu melepasi kelayakan terlebih dahulu, jadi saya perlu fikir satu persatu,” katanya.

Peng Soon akan beraksi di pusingan kelayakan bersama satu lagi beregu campuran negara, Tan Aik Quan-Lai Pei Jing.

Dalam aksi itu, Peng Soon akan bertemu pasangan Jepun, Kenta Kazuno-Ayane Kurihara dan selepas itu mungkin berdepan wakil Australia, Robin Middleton-Leanne Choo.

Sekiranya layak ke undian utama, beregu negara itu akan bertemu wakil Denmark, Mads Pieler Kolding-Kamilia Rytter Juhl di pusingan pertama.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");