Membawang Hari Ini

KaryaONE: Iktiraf karya pelajar

KARYAONE merupakan acara tahunan yang dianjurkan Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FITA) Universiti Teknologi Malaysia (UiTM).

Bertemakan Seni Renaisans Satu Revolusi, KaryaONE tahun ini membawakan pelbagai aktiviti menarik seperti karnival keusahawanan, tayangan promosi filem, wacana, majlis amanat dan anugerah dekan serta tayangan amal yang bermatlamatkan pengumpulan dana pelajar FITA.

Selain itu, sebagai usaha memartabatkan karya pelajar FITA, acara yang dinanti-nantikan adalah Malam Gala KaryaONE di mana hasil kerja pelajar fakulti ini akan diraikan dan diiktiraf dalam satu acara berprestij seperti mana majlis anugerah lain dalam industri sebenar.

Pengarah Projek KaryaONE, Azroz Mohd berkata, dua anugerah baru ditampilkan pada tahun ini merupakan Anugerah Storyboard Terbaik dan Anugerah Acara terbaik yang mengiktiraf segala program dan atur cara anjuran fakulti, sejak Jun tahun lalu.

“Sebanyak 24 anugerah akan diberikan pada malam tersebut antaranya; Filem Animasi Pendek Terbaik, Filem Pendek Pelajar Terbaik, Pementasan Teater Terbaik, Penulisan Skrip Terbaik, Pelakon Terbaik dan sebagainya.

“Sebanyak 18 karya pelajar FITA sepanjang semester ini juga akan dinilai. Begitu juga karya dari pelajar yang bukan di bawah FITA dengan syarat ia belum pernah dipertandingkan,” katanya pada satu sidang media bersama Zass di UiTM Puncak Perdana, baru-baru ini.

Seramai 100 artis tempatan dijemput untuk memeriahkan festival KaryaONE dan malam anugerah ini. Turut diadakan karpet merah serta sesi bergambar bersama selebriti dan pemain industri.

Jadi inspirasi

KaryaONE 2015 merupakan acara berprestij kali keempat sejak ia mula diperkenalkan pada 2012 oleh FITA. Diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, festival ini akan bermula pada 10 hingga 13 Jun.

“Secara keseluruhan, acara ini bertujuan memberikan inspirasi kepada pelajar untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif. Kru yang terlibat terdiri daripada para pelajar FITA serta tenaga pengajar fakulti ini sendiri.

FITA bukan sahaja menganjurkan acara, tetapi juga mengetengahkan para pelajar dengan realiti sebenar sesebuah majlis penganugerahan.” Katanya.

Hadir sama, Datuk Profesor A Razak Mohaideen yang merupakan dekan fakulti tersebut.

Azroz berkata, antara keunikan lain yang akan dilakukan tahun ini adalah pameran limousin terpanjang di Malaysia tajaan syarikat kosmetik terkenal, Natasya.

Enam pemenang cabutan nombor bertuah akan dipilih menaiki limousin itu mengelilingi Shah Alam.

Sebanyak 48 gerai dibuka kepada pelajar dan vendor umum bagi karnival keusahawanan, manakala Malam Gala KaryaONE dibuka kepada orang ramai baik pelajar mahupun pengunjung.

Dewan agung dengan kapasiti 4,250 menanti kehadiran tetamu untuk memeriahkan majlis ini. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web www.karyaone.com.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");