Berita Hari Ini

Kerajaan PP digesa segera lulus projek rumah mampu milik

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP digesa menyegerakan kelulusan pembinaan kira-kira 9,500 buah rumah mampu milik di negeri itu yang sehingga kini masih gagal mendapat keputusan sejak tiga tahun lalu.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata ini kerana kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng itu masih terus berdegil dan enggan memberi kelulusan terhadap penggunaan tanah bagi pembinaan projek terbabit.

Beliau berkata, walaupun tapak bagi pembinaan itu telah diputuskan iaitu menggunakan tanah milik kerajaan pusat dan kos juga ditanggung persekutuan, namun ia tidak boleh diteruskan selagi tidak mendapat kelulusan kerajaan negeri yang menjaga hal ehwal tanah.

“Sampai sekarang tiada kelulusan diberi walaupun kita sudah ada 30,000 senarai menunggu (pembeli) yang terdiri daripada penduduk tempatan.

“Walaupun begitu, kita juga telah mengambil keputusan untuk bina di tanah milik kerajaan pusat dan kos juga ditanggung kerajaan persekutuan, tapi masih gagal untuk diteruskan kerajaan tiada kelulusan (penggunaan tanah) daripada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2015 di Plaza Merdeka, Putra World Trade Centre (PWTC), di sini, hari ini.

Menjawab tuduhan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Tony Phua, kononnya projek pembinaan rumah oleh JKP Sdn Bhd dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) berorientasikan keuntungan semata-mata adalah tidak benar sama sekali.

Beliau menjelaskan, daripada 9,500 unit rumah yang akan dibina itu, 3,500 unit adalah rumah kos rendah yang akan dijual pada harga RM42,000 setiap unit.

“Sebanyak 2,000 unit bagi kategori kos sederhana dengan harga jualan RM72,000 sementara 4,000 unit lagi dijual pada harga RM160,000 hingga RM400,000.

“Daripada jumlah keseluruhan itu, hanya 20 unit saja dibina banglo dengan kos RM1.8 juta itu.. itu pun bukan untuk dijual tapi untuk disewakan PERDA kepada mana-mana syarikat swasta yang berminat,” katanya.

Abdul Rahman berkata, tanggungjawab ini juga diambil kerajaan pusat berikutan kegagalan kerajaan DAP Pulau Pinang yang sehingga kini gagal membina rumah mampu milik kepada rakyat negeri itu biarpun sudah tujuh tahun menerajui kerajaan negeri.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");