Jenayah

Kilang haram dalam ladang getah

DURIAN TUNGGAL – Kedegilan pengusaha sebuah kilang haram di sini meneruskan operasi walaupun pernah diberi notis oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menyebabkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bertindak merobohkan premis berkenaan.

Kedudukan kilang haram yang terletak dalam sebuah ladang getah dan kelapa sawit, kira-kira tiga kilometer dari jalan utama, sekali gus menyukarkan kegiatannya itu dikesan.

Bagaimanapun, kegiatan kilang memproses tayar terpakai untuk mendapatkan minyak tar, carbon black dan kawat besi dalam tayar akhirnya berjaya dihidu apabila penduduk kawasan berhampiran mengadu mengenai bau busuk hasil pembakaran tayar berkenaan.

Yang Dipertua MPHTJ, Mansor Sudin berkata, ekoran aduan yang dibuat hujung tahun lepas, MPHTJ telah menjalankan siasatan di mana kilang berkenaan dikenal pasti menjalankan operasi tanpa kebenaran pihaknya.

Menurutnya, aktiviti pembakaran tayar terpakai di kilang berkenaan menggunakan beberapa dandang telah menyebabkan pencemaran yang teruk, sehingga menyebabkan aduan diterima dari penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang terletak kira-kira lima kilometer dari kawasan berkenaan.

Menurutnya, pemerhatian dan pemantauan dijalankan penguat kuasa MPHTJ mengesahkan kewujudan kilang berkenaan serta aktiviti yang dijalankannya.

“Ekoran itu, satu notis telah dikeluarkan MPHTJ dalam bulan Februari lalu mengarahkan kilang berkenaan menghentikan operasi.

“MPHTJ tidak boleh menerima apa yang dijalankan di kilang ini kerana ia menyebabkan pencemaran serius. Sebab itulah kita ambil tindakan ini,” katanya kepada media di sini, semalam.

Berikutan notis berkenaan, pengusaha terbabit dikatakan telah memberhentikan operasi sementara. Bagaimanapun, selepas suasana reda, kilang berkenaan sekali lagi memulakan operasi.

Menurut Mansor, ekoran kedegilan pengusaha kilang berkenaan, penguat kuasa MPHTJ telah bersemuka dengan pengusaha beberapa hari lalu bagi memaklumkan mengenai tindakan meroboh yang akan dijalankan.

“Bangunan kilang serta dandang yang digunakan akan dirobohkan, manakala barangan lain seperti generator dan sebagainya akan kami sita,” katanya.

Beliau berkata, pengusaha kilang terbabit akan berhadapan tindakan di bawah Seksyen 75 Akta 133 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kerana mendirikan bangunan tanpa kelulusan majlis.

Selain itu, pengusaha berkenaan turut disiasat Jabatan Alam Sekitar di bawah Seksyen 22 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, yang membawa hukuman denda RM100,000 atau dua tahun penjara jika sabit kesalahan.

Sementara itu, semasa pasukan penguatkuasa MPHTJ dan Jabatan Alam Sekitar tiba di kilang berkenaan semalam, tiada seorang pun pekerja yang kelihatan kerana mereka difahamkan sudah melarikan diri apabila menyedari kehadiran anggota berkenaan.

Menggunakan sebuah jentolak, penguat kuasa MPHTJ terus bertindak merobohkan struktur bangunan dan dandang di kilang berkenaan.

Difahamkan minyak tar yang berjaya dihasilkan dari pembakaran tayar terpakai akan disalurkan ke beberapa tangki penyimpanan yang terletak berhampiran bangunan kilang berkenaan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");