Jenayah

Lapor polis jenayah di masjid

KUALA TERENGGANU – Bagi melancarkan lagi program 1Masjid 1Polis, masyarakat diminta bekerjasama dalam menyalurkan maklumat berhubung sebarang kes yang berlaku di masjid bagi membantu siasatan pihak polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Nik Md Zain Nik Omar berkata, bukan setakat itu sahaja, program polis turun ke masjid telah dikenal pasti bagi merapatkan hubungan anggota polis dengan ahli kariah sesebuah masjid setempat.

“Setakat ini kita mempunyai sekitar 134 buah masjid di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, sekali gus mencatatkan antara daerah paling banyak jumlah masjid berbanding daerah dan negeri lain di negara ini.

“Justeru, kita telah mempertanggungjawabkan seorang anggota polis bagi menjaga sebuah masjid dan sentiasa mengadakan lawatan dengan menurunkan tandatangan pada buku khas lawatan mereka,” katanya pada sesi taklimat PDRM mengenai program 1Masjid 1Polis
sempena Program Himpunan Pengimarah Masjid Peringkat daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata, kariah masjid berhak membuat laporan kepada ibu pejabat polis berdekatan sekiranya anggota polis berkenaan gagal melaksanakan tugas yang diamanahkan itu.

“Kalau masyarakat setempat dapati anggota polis ini tidak melakukan tugas yang diamanahkan, mereka berhak membuat laporan polis mengenai perkara itu,” katanya.

Menurut Nik Md Zain, antara jenayah yang sering dilakukan di masjid ialah curi kenderaan khususnya motosikal, pecah cermin kereta dan curi wang tabung masjid.

“Kes jenayah itu masih lagi di peringkat terkawal, namun kita harap dengan adanya program ini ia dapat membantu mengurangkan kejadian seperti itu bahkan sekiranya ia berjaya, ia akan menjadi program perintis yang akan dilaksanakan oleh negeri-negeri lain.

“Dengan jalinan kerjasama yang erat antara polis dan masyarakat, mereka mampu membendung kegiatan jenayah di satu-satu kawasan dengan lebih efisien,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Mohd Ariffin Jusoh berkata, pihak jabatan mengalu-alukan usaha masjid mengadakan kamera litar tertutup (CCTV) supaya sebarang kejadian tidak diingini dapat dirakam seterusnya memudahkan siasatan oleh
pihak berkuasa.

“Sekarang dah ada masjid-masjid yang mempunyai CCTV bagi menjaga keselamatan jemaah dan kita harap ia sedikit sebanyak dapat membantu dari segi keselamatan kariah masjid,” katanya.

Program Himpunan Pengimarah Masjid Peringkat Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dihadiri hampir 1,000 jawatankuasa dan pegawai masjid di dua daerah itu bagi meningkatkan tahap pemahaman tugas mereka.

Selain itu, katanya, program julung kali diadakan itu akan diadakan program tahunan bagi memastikan pegawai dan jawatankuasa masjid dapat berkumpul setahun sekali gus dapat merapatkan hubungan yang terjalin.

“Program ini juga bertujuan menjadikan masjid sebagai lokasi tumpuan masyarakat sebagai pusat ilmu, dakwah, ekonomi dan sosial.

“Ia juga bagi meningkatkan tahap pelaksanaan program dan aktiviti masjid secara sistematik dan bersepadu serta menjadikan masjid sebagai sumber penyatuan,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");