Jenayah

Mat gian tak serik diserbu

TANAH MERAH – Kawasan semak yang dibersihkan dalam gotong-royong melibatkan pelbagai agensi kerajaan di Kampung Bechah Laut, dekat sini, semalam, pernah diserbu polis kerana menjadi sarang penagihan dadah.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kampung itu, Samsuddin Nor berkata, walaupun terletak di tepi jalan utama, kawasan tersebut menjadi tumpuan penagih termasuk dari luar untuk melepaskan gian kerana dipenuhi semak-samun dan jauh dari rumah penduduk.

Katanya, dalam serbuan terbaharu di lokasi tersebut, baru-baru ini, lebih kurang 70 penagih dadah ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah.

“Kawasan lapang ini asalnya ditambun pemilik tanah untuk dijadikan lot rumah, tetapi belum dijual sampai sekarang. Bila penuh dengan semak, penagih termasuk dari luar jadikan ‘port’ mereka untuk lepas gian,” katanya, semalam.

Program dianjurkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Tanah Merah itu disertai penduduk setempat dan agensi kerajaan seperti polis, Rela, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Cancun Park, dekat Pasir Mas.

Perasmian program dibuat Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tanah Merah, Asisten Superintendan Mohd Zailal Wasubri dan turut dihadiri Ketua Pegawai AADK daerah, Maznah Hamat.

Justeru, Samsuddin merakamkan ucapan terima kasih kepada AADK kerana memilih kampung itu sebagai lokasi gotong-royong dan juga penduduk KRT Kampung Bechah Laut yang hadir menjayakan program tersebut.

Sementara itu, kata Maznah, operasi menghapuskan sarang penagihan dadah itu adalah yang pertama di Tanah Merah pada tahun ini dan program sama akan diteruskan dari semasa ke semasa di kawasan lain.

“Sebenarnya di tempat kita tidak banyak ‘port’ seperti di negeri luar yang ramai penagih heroin atau morfin kerana kebanyakan penagih dadah di negeri ini menagih pil kuda.

“Golongan ini (penagih pil kuda) biasanya tidak ada ‘port’ kerana mereka jenis ‘touch and go’ seperti jumpa tepi jalan. Cuma mungkin ada yang nak lepak jauh dari rumah, mereka pergi tempat sebegini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sarang dadah di Kampung Bechah Laut itu kemungkinan turut menjadi tumpuan peserta Program Pertukaran Jarum dan Alat Suntikan (NSEP) serta Terapi Gantian Metadone berikutan penemuan jarum suntikan.

“Program ini dilaksanakan Kementerian Kesihatan untuk menurunkan kadar jangkitan penyakit HIV dan Aids melalui suntikan dadah. Jadi, mungkin selepas tukar jarum, mereka datang lepaskan gian di ‘port’ ini,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");