Sukan Hari Ini

Mencari petinju terunggul abad ini

Apabila Floyd Mayweather Jr. dan Manny Pacquiao mema­suki gelanggang hari ini (11 pagi waktu Malaysia), pertaruhan untuk pertaru­ngan yang dilabelkan ‘Pertarungan Abad Ini’ sangat besar.

Pertarungan yang menyediakan hadiah paling lumayan itu akan memberikan setiap petinju bayaran jutaan ringgit dan memecahkan rekod siaran TV bayar dan tonton manakala harga tiket boleh membuatkan mata terbeliak, kerana hanya mampu dibeli oleh mereka yang kaya dan ternama.

Pertarungan itu bakal menyaksikan Arena Grand Garden MGM yang memiliki 16,800 tempat duduk me­nyaingi Super Bowl dari segi hasil jualan tiket.

Bengkung kejuaraan yang bertatahkan 3,000 butir zamrud dipertaruhkan di sam­ping gelaran petinju terbaik kategori ringan dunia tetapi yang lebih penting ialah pertarungan itu mampu me­ngukuhkan warisan tinju dan dari satu segi masa depan sukan itu sendiri.

Lebih lima tahun pertarungan ini dirancang, semua gembar-gembur dan unsur telah tersedia untuk menjadikan pertarungan welterweight ini sebagai detik paling bersejarah dalam sukan.

Ia juga mampu menjadi satu kegagalan, yang akan memberikan satu lagi tamparan kepada sukan yang sedang mula me­raih kembali populariti.

“Pertarungan ini telah diperkatakan begitu lama, tanggapan sekarang ialah orang ramai benar-benar menanti-nantikannya dan sanggup membayar sebarang harga untuk menyaksikannya.

“Jika pertarungan ini hambar, itu mampu menjejaskan keseluruhan tinju secara keseluruhannya, tetapi jika menarik, pertarungan yang orang mahu lihat lagi, maka akan membawa tinju ke tahap baharu,” kata Oscar De La Hoya, salah seorang daripada segelintir pe­tinju yang pernah menentang Mayweather dan Pacquiao.

Dengan tiket di pasaran jualan semula berharga lebih AS$100,000 (RM359,350) untuk tempat duduk hampir dengan gelanggang dan hampir tiga juta orang dijangka membayar AS$100 (RM359) untuk siaran bayar dan tonton, Maywea­ther dengan rekod tanpa kalah (47-0) dan Paquiao (57-5-2) dijangka menampilkan pertarungan yang setimpal dengan tanda harga mewah itu.

Pertarungan itu akan menjadi pertembungan klasik gaya tinju.

Dianggap salah seorang pe­tinju terbaik dalam bertahan, Mayweather licik dan pintar mengawal gelanggang yang membolehkannya bertahan hampir dua dekad di ge­langgang dengan cara menghindari bahaya.

Sebaliknya, petinju dari Fili­pina, Pacquiao membawa gaya menyerang habis-habisan dan mampu menumbangkan lawannya de­ngan satu pukulan.

Bagaimanapun, bagi kebanyakan pakar tinju pertembungan ini berlangsung lewat sete­ngah dekad kerana ke­dua-dua petinju sudah melepasi zaman kemuncak.

Petinju Amerika, Mayweather sudah berusia 38 tahun dan mungkin tidak selicik atau sepantas dahulu manakala kekuatan Pacquaio, 36, dipersoalkan setelah dia tidak pernah mencatat kemenangan knockout sejak menumbangkan Ricky Hatton dari Britain dalam pusingan kedua pada 2009.

“Bagi saya, ini adalah mengenai bagaimana kita mampu menggembirakan peminat. Mereka membayar wang yang banyak…jadi mereka berhak mendapat satu pertarungan yang bagus,” kata juara dunia lapan divisyen itu, yang dikenali sebagai Pacman.

Bagi Mayweather yang digelar Money, pertarungan itu akan memperkukuhkan legasi­nya dan menempatkannya dalam kalangan petinju terbilang.

“Pertarungan ini adalah mengenai seorang petinju yang berada di puncak menentang seorang lagi petinju yang juga di puncak. Ini akan memberikan anda semua keseronokan.

“Kita tidak tahu bagaimana pertarungan ini akan selesai tetapi saya percaya saya akan muncul pemenang,” katanya lagi. – REUTERS

–  http://www.utusan.com.my/sukan

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");