Berita Hari Ini

Menteri lulus tuntutan pampasan

KUALA LUMPUR – Isu tuntutan pampasan penduduk Kampung Pindah, Kampong Bharu, yang terlibat dengan kejadian tanah mendap pada 2011, hampir menemui jalan penyelesaian apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, bersetuju dengan permohonan mereka.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, sebanyak 17 keluarga terlibat dalam tuntutan berkenaan yang berjumlah RM9.9 juta keseluruhannya.

Menurutnya, kini mereka sedang menunggu kelulusan daripada Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) untuk proses pemberian pampasan berkenaan.

“Peruntukan pampasan telah diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) kepada jabatan perparitan dan saliran (JPS) dan PKB hanya sebagai pentadbir sahaja.

“Diharapkan perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana masalah telah berlarutan terlalu lama.

“Saya juga harap tiada mana-mana ahli lembaga yang akan bertindak di luar dari kuasa menteri,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelas Johari, perkara berkenaan telah dimaklumkan kepada penduduk terlibat yang kebanyakan kini masih menetap di kawasan berkenaan.

“Mereka masih menunggu pampasan ini sebelum berpindah. Selepas mereka berpindah baru JPS akan membongkar palong-palong lama yang terletak di bawah tanah mereka,” katanya.

Kejadian tanah mendap di Jalan Syed Mahadi, Kampung Pindah berlaku pada April 2011 ekoran palong yang terdapat di bawah tanah pecah akibat tekanan air tinggi ketika hujan lebat.
Kejadian berkenaan turut menjejaskan beberapa kediaman.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga telah menawarkan unit-unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk pemindahan sementara.

Difahamkan pengalihan palong bawah tanah merupakan jalan penyelesaian jangka panjang bagi mengelakkan kejadian sama berulang seterusnya memberi risiko kepada penduduk.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");