Jenayah

Menyamar kastam ketika samun

KUANTAN – Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan menyamar sebagai pegawai kastam untuk menyamun sebuah pasar mini di Kampung Tengah, di sini 31 Mac lalu.

Ruhayat Mohd Yusof, 26, dan Muhammad Alauddin Hassan 29, kedua-duanya dari Felda Neram 2, Kemaman bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan yang dikemukakan di hadapan Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 4.30 petang 31 Mac 2015.

Dalam kejadian itu, mereka dituduh menyamar sebagai pegawai kastam sebelum merampas barangan dan wang tunai daripada peniaga kedai membabitkan nilai kerugian keseluruhan mencecah RM5,000.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Jika sabit kesalahan mereka berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) ditawarkan jaminan RM3,000 setiap seorang. Mereka bagaimanapun dibenarkan membuat rayuan berhubung jumlah jaminan tersebut.

Dalam rayuannya melalui peguam, Ruhayat yang masih bujang memohon agar jaminan dikurangkan memandangkan dia kini tidak bekerja manakala Muhammad Alauddin yang bekerja sebagai juruteknik dengan gaji RM1,500 sebulan terpaksa menyara isteri dan empat anak masih kecil.

Mengambil kira rayuan tertuduh itu, mahkamah membenarkan jumlah jaminan dikurangkan kepada RM2,500 setiap seorang manakala 29 Mei depan ditetapkan sebagai tarikh prabicara kes tersebut.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");