Berita Hari Ini

Muhyiddin ajak datang Malaysia

Milan (Itali): Tan Sri Muhyiddin Yassin menggalakkan masyarakat perniagaan Itali untuk melihat Malaysia sebagai laluan masuk mereka kepada pasaran Asean yang luas.

“Dari segi geografi, Malaysia terletak secara ideal dalam wilayah itu. Dari segi perhubungan, kami tiada tandingan. Dari segi polisi, pendekatan Malaysia yang berhati-hati dan mesra perniagaan sudah mendapat pengiktirafan meluas dunia,” kata timbalan perdana menteri.

ASEAN bakal menjadi kuasa lebih besar dalam arena ekonomi global menerusi pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) akhir tahun ini, kata beliau pada rundingan meja bulat dengan para kapten industri Itali di sini pada Jumaat malam.

Beliau berkata potensi ASEAN adalah besar dengan pasaran serantau bersepadu lebih 600 juta orang dan tanpa tarif bagi hampir kesemua barangan yang boleh diperdagangkan kerana AEC mahu mencipta pasaran tunggal dan pangkalan pengeluaran.

Katanya, gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) semasa ASEAN yang melebihi US$2.3 trilion (RM8.2 trilion) sudah menduduki ranking kelapan terbesar dunia.

“Ia adalah menggalakkan untuk mendapati pelabur-pelabur Itali turut sedang memperkembang dan mempelbagai operasi sedia ada mereka, menggambarkan keyakinan mereka kepada Malaysia,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata Malaysia mengalu-alukan lebih banyak syarikat Itali yang memiliki pelaburan berkualiti dalam teknologi baharu termasuk seperti kecekapan tenaga dan e-mobiliti serta sektor bernilai tinggi seperti ICT, analitik data, reka bentuk dan pembangunan.

Pada masa ini, kehadiran pelabur Itali adalah kukuh dalam sektor berkaitan produk petroleum termasuk petrokimia, produk getah, jentera dan peralatan, produk buatan logam dan produk elektronik serta elektrikal.

Beliau berkata dalam tempoh lebih 10 tahun lalu, perdagangan antara Malaysia dan Itali sentiasa meningkaat dengan jumlah perdagangan dalam 2014 berjumlah US$2.69 bilion (RM9.68 bilion).

Dari segi sektor pelaburan dan pengeluaran, beliau berkata pelaburan kedua-dua negara meningkat daripada hanya US$9.5 juta (RM34.2 juta) pada 2010 kepada US$303 juta (RM1 bilion) tahun lalu.

Pada 2014, Malaysia meluluskan 115 projek pengeluran dengan penyertaan Itali dan pelaburan berjumlah US$654.3 juta (RM2.3 bilion) dan mencipta 10,378 peluang pekerjaan.

Muhyiddin turut berkongsi dengan para pelabur itu mengenai gambaran ringkas mengenai kejayaan negara, prospek dan potensi Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik.

Beliau berkata ekonomi Malaysia terus berdaya tahan, ditambah dengan simpanan antarabangsa yang tinggi, hutang luar yang rendah, pengangguran yang kecil dan aliran keluar masuk barangan, perkhidmatan dan pelaburan yang menguntungkan.

Malaysia, katanya mencatat pertumbuhan kukuh enam peratus pada 2014 yang dijangka tumbuh antara 4.5 hingga 5.5 peratus pada 2015 walaupun dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Malaysia menarik pelaburan sebanyak US$68 bilion (RM244.8 bilion) dengan jumlah perdagangan mencecah US$443 bilion (RM1.59 trilion) tahun lalu.

Beliau berkata Bajet 2015 negara turut memperuntuk pakej insentif bagi projek pelaburan berkualiti yang menyediakan pekerja berkelayakan tinggi dan berpengetahuan dengan gaji yang lumayan. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");