Jenayah

Nenek selamatkan dua cucu

KOTA BHARU – Seorang nenek nekad menyelamatkan dua cucunya dalam kebakaran, di Kampung Pauh Belukar, Panji, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, mangsa, Kamariah Yusof, 56, hanya menyedari kebakaran tersebut selepas melihat api di sebuah bilik di rumah berkenaan.

Dia kemudiannya segera mendukung cucunya berusia 6 bulan dan memimpin seorang lagi cucu yang berusia 5 tahun untuk menyelamatkan diri.

Adik Kamariah, Mat Yaakub Yusof, 52, berkata, kakaknya terpaksa berlari ke rumahnya, hanya kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian.

“Kakak sempat menjerit rumahnya terbakar dan mengetuk pintu rumah sekuat hati, memandangkan ketika itu saya sedang berehat di dapur.

“Dia panik dan hanya mampu mengucap beberapa kali sambil meletakkan cucu yang dijaganya, Muhammad Aril Zafran berusia 6 bulan dan Muhammad Darwish Mikhail di rumah saya selepas rumahnya terbakar,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, ketika kejadian abang iparnya, Abdul Rahim Mamat, 58, tiada di rumah kerana bekerja.

“Kakak tidak mampu selamatkan barangan dalam rumah kerana tidak berdaya. Saya dan beberapa jiran cuba membantu memadamkan api yang marak tetapi gagal.

“Apa pun saya bersyukur kakak selamat bersama dua cucunya dan tidak mengalami kecederaan walaupun keseluruhan rumahnya musnah,” katanya.

Sinar Harian cuba mendapatkan mangsa namun tidak berjaya berikutan Kamariah masih bersedih akibat kejadian tersebut.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Mohd Rozi Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 1.35 petang.

“Kami tiba di lokasi kira-kira jam 1.42 petang dengan empat jentera termasuk dari Kota Bharu dan Pengkalan Chepa bersama kekuatan 14 anggota dari Kota Bharu, tujuh anggota dari Pengkalan Chepa dan lima anggota Pasukan Bomba Sukarela.

“Ketika kami tiba, hampir 80 peratus rumah terbabit terbakar dan kita berjaya kawal kebakaran kira-kira jam 1.52 petang,” katanya.

Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");