Jenayah

OKU selamat dalam kebakaran

KOTA TINGGI – Lima sekeluarga termasuk seorang remaja OKU terselamat meskipun kediaman mereka di Kampung Nelayan, Tanjung Sedili dekat sini, musnah dalam kebakaran awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, 10 anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Kota Tinggi dikejarkan ke lokasi.

Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Ahmad Amat berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.11 pagi sebelum sampai ke lokasi pada jam 5.45 bersama dua jentera.

Menurutnya, ketika sampai di lokasi api masih marak dan pihak bomba mengalami kesukaran berikutan laluan masuk ke rumah mangsa yang sempit menyebabkan hanya sebuah jentera sahaja yang dapat masuk ke lokasi.

“Bagaimanapun, sebuah jentera lagi yang tidak dapat masuk ke lokasi kejadian membantu menyalurkan air kepada jentera di tempat kejadian.

“Pihak bomba berdepan masalah apabila kawasan terbabit tidak mempunyai kemudahan pili bomba. Jentera kita juga terpaksa berulang alik sejauh 1.5 kilometer untuk mendapatkan bekalan air terbuka di pekan Tanjung Sedili bagi memadamkan kebakaran terbabit,” katanya.

Beliau berkata, seramai lima penghuni berada di dalam rumah terbabit ketika kejadian berlaku termasuklah sepasang suami isteri, dua orang anaknya di mana salah seorang merupakan remaja OKU dan juga seorang abang angkat.

“Kejadian disedari jiran mangsa yang juga abang ipar mangsa selepas mendengar bunyi letupan sebelum bertindak mengejutkan keluarga terbabit.

“Ekoran kebakaran itu, rumah terbabit musnah keseluruhannya bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad memberitahu dalam kejadian berasingan, seramai lima anggota bersama sebuah jentera dari balai yang sama turut dikejarkan ke sebuah ladang reban ayam di Jalan Mersing, Sungai Ara, selepas menerima panggilan kebakaran melibatkan reban ayam tersebut.

“Pihak kami menerima panggilan pada jam 3.33 pagi sebelum sampai di lokasi pada jam 4.59 pagi.

“Sebaik sampai di tempat kejadian kami dapati api telah dipadamkan oleh pekerja ladang terbabit, seterusnya, kami melakukan kerja pemadaman sisa bara api,” katanya.

Katanya, kebakaran tersebut telah menyebabkan satu daripada lapan reban yang berstruktur separuh kekal itu terbakar.

“Reban ayam berkenaan milik syarikat persendirian yang mengusahakan ternakan ayam tersebut.

“Pekerja ladang juga sempat mengalihkan ayam yang ada ke kawasan reban yang selamat,” katanya.

Punca dan anggaran kerugian kedua-dua kes kebakaran tersebut masih disiasat.

-SInar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");