Jenayah

Pencuri TV masjid dipenjara

KUALA TERENGGANU – Seorang pemuda dipenjara setahun manakala rakannya yang masih remaja diarahkan ke Pusat Pemulihan Akhlak di Rusila, Marang, sehingga berusia 18 tahun oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam, kerana mencuri sebuah televisyen milik masjid.

Amru Omar, 23, dari Kampung Jeram, Manir, di sini, dan rakannya, 17, dari Kampung Banggol Peradong, di sini, terima hukuman itu selepas mengaku salah mencuri televisyen jenama Sharp milik Masjid Kampung Banggol Peradong Manir, 1 Mei lalu.

Mereka berdua mengaku salah bersama-sama melakukan kesalahan itu yang membabitkan kerugian lebih kurang RM1,000, lebih kurang jam 3.40 pagi.

Kedua-dua suspek didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Berdasarkan fakta kes, pada 1 Mei lalu, lebih kurang jam 3.40 pagi, seorang penduduk yang berjalan kaki menuju ke Masjid Kampung Banggol Peradong Manir ternampak dua lelaki yang dalam keadaan mencurigakan menuju ke kawasan masjid.

Mensyaki ada sesuatu yang tidak kena berlaku, individu itu bertindak menghubungi jirannya yang dikenal sebagai Md Nor untuk sama-sama memerhati gerak geri kedua-dua individu terbabit.

Mereka terkejut apabila mendapati kedua-dua lelaki itu secara tiba-tiba keluar dari kawasan masjid sambil membawa televisyen berwarna hitam dipercayai milik masjid.

Marah dengan tindakan mereka berdua, Md Nor menjerkah sebelum kedua-duanya melarikan diri dengan meninggalkan televisyen itu.

Kedua-dua penduduk itu nekad mengejar mereka berdua dan dengan bantuan penduduk yang turut menyedari kejadian itu akhirnya seorang daripada suspek berjaya ditangkap, manakala seorang lagi melarikan diri.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");