Sukan Hari Ini

Penggempur TRW jadi taruhan

IBARAT ‘pertembungan dua negara’ yang sentiasa bermusuhan dalam bola sepak, aksi The Red Warriors menentang Lions XII FC bagaikan satu perlawanan akhir penuh klasik yang menjadi impian ramai pemerhati dan peminat bola sepak tempatan.

Bagaimanapun, pasukan mana lebih berhak menjulang trofi edisi ke-26, itu bergantung sejauh mana Ketua Jurulatih Kelantan, Mohd Azraai Khor dan rakan sejawatannya, Fandi Ahmad menerapkan percaturan strategi serta disiplin taktikal terhadap pasukan masing-masing.

Bagi Mohd Azraai Khor, dia perlu memantapkan lagi benteng pertahanannya dan mengembalikan kekuatan enjin tengah memandangkan pasukan berstatus kelab itu akan tampil dengan corak permainan laju menerusi rangkaian pemain muda mereka.

Perkemas benteng pertahanan

Penilaian sederhana mungkin wajar diberikan kepada benteng pertahanan Kelantan jika melihat kepada aksi tidak konsisten barisan pemain mereka yang melepaskan 16 gol dalam 10 perlawanan Liga Super setakat ini.

Walaupun Mohd Azraai Khor memperoleh kembali khidmat bekas pemain antarabangsa Australia, Jonathan McKain di posisi bek tengah namun dia harus memperkemaskan lagi benteng pertahanan andai tidak mahu berputih mata malam ini.

McKain perlu lebih agresif dan tidak sekadar menjadi ‘pemerhati’ kerana penyerang adik-beradik Lions XII FC, Mohd Khairul Nizam dan Mohd Khairul Amri Mohd Kamal lebih gemar menjaringkan gol menerusi serangan balas pantas dilakukan pasukannya.

Pilihan terbaik digandingkan bersama McKain ialah pemain tinggi lampai, Amiridzwan Taj Tajudin yang mempamerkan persembahan memberangsangkan meskipun hanya baharu dua kali beraksi bersama Kelantan sejak menyertai pasukan itu, 5 Mei lalu.

Selain itu, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim serta Mohd Farisham Ismail dilihat calon utama untuk mengisi bek kanan dan kiri memandangkan mereka cukup fleksibel bermain di posisi tersebut selain nama seperti Mohd Noor Hazrul Mustafa, Mohd Fitri Omar dan Zairul Fitree Ishak tetap berada dalam radar pengendali Kelantan.

Guna kepantasan sayap

Hakikatnya, komponen enjin tengah Kelantan tidak berada pada tahap terbaik dan pengendali kelahiran Kedah itu perlu menukar variasi corak permainan pasukannya dengan menggunakan kedua-dua bahagian sayap jika mahu memerangkap anak buah Fandi Ahmad dalam tempoh 90 minit.

Kelantan tidak lagi boleh bergantung pada ‘killer pass’ kapten, Mohd Badhri Radzi kerana terbukti sejak kebelakangan ini segala usaha mereka untuk memecahkan benteng lawan menggunakan bahagian tengah sering kali terkandas.

Kepantasan dan kelicikan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Wan Zack Haikal Wan Noor merupakan senjata utama yang mampu menutup kelemahan Mohd Badhri atau Piya yang semakin hilang sentuhan mencipta gerakan berbahaya untuk penyerangnya.

Seperti biasa, Norhafiz Zamani Misbah dilihat satu-satunya pemain paling sesuai memikul tugas selaku pemain tengah bertahan biarpun semakin berusia dan pergerakannya hanya terbatas sehingga ke separuh padang sahaja.

Penggempur tiada masalah

Gandingan dua penyerang import, Erwin Carrillo dan Gilmar Dos Santos Filho hampir pasti dikekalkan pengendali Kelantan itu meskipun gagal mengukir nama selaku penjaring gol pada kedua-dua aksi separuh akhir.

Namun, pemain yang dijangka mencuri tumpuan ialah Austin Amutu, wira Kelantan ketika menewaskan Pahang pada separuh akhir kedua minggu lalu yang mungkin diturunkan selaku ‘super sub’ pada malam ini.

Kemungkinan besar, bekas jurulatih Negeri Sembilan, Perak dan T-Team itu dijangka menurunkan penyerang yang dipinjamkan Warri Wolves FC itu pada 20 hingga 25 minit terakhir berdasarkan percaturan taktikal sebelum ini.

Seperkara menarik, mengulas kekuatan Kelantan ialah kemampuan penyerang tempatan mereka iaitu Mohd Norfarhan Muhammad, Mohd Khairul Izuan Rosli dan Ahmad Fakri Saarani yang boleh diharap menjaringkan gol sekiranya pasukannya terdesak mendapatkan kemenangan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");