Jenayah

Penoreh getah dakwa dipukul, diacu pistol

IPOH – Seorang penoreh getah mendakwa dibelasah dan diacu pistol oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika berada di sebuah bengkel di Selama, minggu lalu.

Penoreh mahu dikenali sebagai Shahadan, 54, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, dia berada di sebuah bengkel di Jalan Lampin, Selama untuk membaiki kereta sebelum didatangi tiga lelaki yang bertindak memukulnya.

Menurutnya, seorang daripada tiga lelaki berkenaan kemudian mengacu pistol ke arahnya sambil mengeluarkan kata-kata kesat.

“Saya pada mula terkejut dengan tindakan itu kerana ketika itu saya tidak bersenjata, selain malu dipukul di khalayak ramai.

“Apa salah saya sampai diperlaku sebegitu pun tak pasti. Mungkin berkait niat saya untuk membantu rakan selesaikan masalahnya. Apa yang pasti kejadian itu nyaris meragut nyawa saya,” katanya.

Menceritakan mengenai niatnya, Shahadan berkata, sekitar jam 3 petang, seorang rakan meminta pertolongan untuk menemaninya menyelesaikan satu masalah.

Jelasnya, rakannya bersama dua lagi individu mengajak ke sebuah rumah di taman perumahan di Selama , malangnya tiada individu di dalam kediaman berkenaan.

“Saya cuma diajak untuk teman mereka dan memang tak tahu apa masalah yang ingin diselesaikan itu. Bila tak ada orang kami pun balik, tetapi pada petang itu ada tiga individu datang pukul saya.

“Mujurlah tidak berlaku pergelutan dan kebetulan ada polis di tempat kejadian yang meleraikannya. Hampir seminggu saya tak kerja sebab bimbang dengan kejadian itu,” katanya.

Shahadan yang tinggal di Simpang Tiga, Selama berkata, laporan polis sudah pun dibuat di Balai Polis Selama dan berharap tindakan selanjutnya dapat dilakukan segera.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Selama, Asisten Superintendan Abdul Ghani Zainun ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan kejadian berkenaan masih dalam siasatan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");