Sukan Hari Ini

Penuhi KPI atau hilang jawatan – Subahan

KUALA LUMPUR – Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal mengingatkan pengerusi-pengerusi yang diberi tanggungjawab menerajui jawatankuasa dalam badan induk itu agar memenuhi indeks prestasi utama (KPI) atau mereka akan ditukarkan dengan individu lebih berkeupayaan.

Beliau bagaimanapun yakin, mereka yang dilantik untuk me­nerajui jawatankuasa berkenaan memiliki keupayaan untuk memenuhi harapannya.

“Mereka yang diberi mandat dan kepercayaan lembaga ini, diyakini mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam bidang masing-masing.

“Kami juga tetapkan KPI tertentu untuk melihat sejauh mana mereka menjalankan tanggungjawab itu dan selepas setahun, kami nilai dan mungkin buat perubahan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MHC di Bukit Jalil semalam.

Dalam rombakan selepas dipilih sebagai presiden baharu MHC, Subahan menerajui dua jawatankuasa iaitu Pengurusan Pasukan Kebangsaan dan Kewangan.

Dua lagi jawatankuasa kanan MHC iaitu Pertandingan dan Kejurulatihan masing-masing dipengerusikan oleh Timbalan Presiden, George Koshy dan Naib Presiden, Datuk Ow Soon Kooi sementara Pembangunan diterajui Timbalan Presiden (wanita), Prof. Dr. S. Shamala.

Menurut Subahan, Lembaga Eksekutif juga bersetuju menubuhkan dua jawatankuasa baharu iaitu Hal-Ehwal Antarabangsa dan Hoki Lima Sebelah.

Mengenai dua jawatankuasa yang diterajui itu, Subahan berkata: “sebagai Presiden, saya pun kena bekerja, takkan nak duduk diam sahaja.

“Suka atau tidak, kita kena faham, hidup mati MHC bergantung kepada prestasi pasukan, macam mana-mana sukan lain pun. Sasaran penting mereka ialah layak ke Sukan Olimpik 2020 di Jepun.

“Ini satu tanggungjawab yang besar dan saya perlu benar-benar tahu apakah bantuan yang boleh diberikan atau hala tuju pasukan itu.

Mengenai (jawatankuasa) Kewangan, (KPI) kami ialah melangsaikan hutang MHC sebanyak RM2.7 juta atau mungkin cuba mengurangkannya kepada satu jumlah yang baik pada akhir tahun ini,” katanya.

Terdahulu MHC menyampaikan pembayaran bonus dan elaun skuad lelaki dan wanita negara yang tertunggak sejak 2013 berjumlah RM282,000 dengan Subahan memberi amaran supaya mereka menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan mulai sekarang dan tidak lagi memberikan pelbagai alasan jika masih gagal menyerlah.

– http://www.utusan.com.my/sukan

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");