Berita Hari Ini

Peruntukan RM20,000 wujud industri nelayan pelancongan di Tioman

PULAU TIOMAN: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) meluluskan peruntukan RM20,000 bagi mewujudkan industri nelayan pelancongan di Kampung Juara, Pulau Tioman.

Pengerusinya, Datuk Irmohizam Ibrahim, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira cadangan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Juara yang mahukan industri itu sebagai pemangkin untuk meningkatkan sumber pendapatan nelayan.

“Saya kira kawasan Pulau Tioman bersesuaian dengan industri nelayan pelancongan seperti adanya pusat ternakan ikan sangkar kerana ia mempunyai prospek yang sangat baik memandangkan kawasan ini mempunyai bilangan nelayan yang ramai.

“Ia juga dapat menarik lebih ramai pelancong jika ditambah dengan elemen pemasaran,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan elaun sara hidup nelayan secara tunai dan bantuan azam tani Dewan Undangan Negeri Tioman, di Kampung Juara, di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata industri itu juga bakal memberi nilai tambah kepada nelayan bukan sahaja dalam memasarkan hasil tangkapan ikan di pasar tani, malah memperkenalkan produk ikan bakar tersendiri.

Irmohizam berkata ia juga dapat memberi pilihan kepada pelancong yang datang ke pulau itu untuk menikmati alam semula jadi sambil menikmati hidangan makanan ikan segar yang diternak nelayan tempatan.

Menyentuh mengenai pilihan raya kecil Parlimen Rompin pada 5 Mei ini, beliau berkata nasib nelayan akan sentiasa dijaga dan tidak akan dipinggirkan daripada menikmati segala bantuan selagi calon Barisan Nasional (BN) dipilih.

Beliau turut menyatakan sokongan 2,635 nelayan di daerah itu yang yakin akan kepimpinan calon BN Datuk Hasan Arifin berdasarkan latar belakang dan rekod pencapaian yang pernah ditunjukkannya sebelum ini.

“Secara keseluruhan saya melihat sambutan sangat baik dalam usaha memastikan setiap program dan rancangan yang diperkenalkan Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dapat diteruskan calon BN,” katanya.

PRK Parlimen Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Hasan dan calon PAS Nazri Ahmad ekoran kematian penyandangnya Allahyarham Jamaluddin dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas. S

ebanyak 460 pengundi awal atau 84.4 peratus daripada 545 pengundi awal telah menjalankan tanggungjawab mereka di empat pusat pengundian dan sejumlah 52,744 lagi pengundi akan memangkah undi pada Selasa depan. – BERNAMA

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");