Berita Hari Ini

Pesawat IL-76 milik pasukan SAR China tiba

ALOR SETAR – Pesawat pengangkut Ilyushin IL-76 milik pasukan mencari dan menyelamat antarabangsa China (CISAR) tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LSTAH) di sini, hari ini.

Pesawat tersebut tiba pada 11.30 pagi tadi dengan membawa peralatan menyelamat dan pelbagai kenderaan yang akan digunakan sepanjang tempoh Forum Serantau Asean Latihan Bantuan Bencana Asean 2015 (ARF-DiREX 2015) yang berlangsung di Kedah dan Perlis bermula esok hingga Khamis.

Timbalan Ketua Kanan Tindakan Kecemasan, Pejabat Jabatan Operasi Tentera Pembebesan Rakyat China, Ma Xin berkata, bekalan makanan, peralatan dan kenderaan yang dibawa dari negara itu bertujuan untuk melancarkan lagi latihan pasukannya.

“Kami berharap latihan tersebut akan berjalan dengan lancar dan berjaya dengan komitmen dengan semua pasukan penyelamat dari pelbagai negara,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Tajudin Abdul Wahab berkata, Malaysia dan China merupakan pengerusi bersama bagi ARF DiREx 2015.

Katanya latihan tersebut juga turut disertai oleh pelbagai agensi penyelamat dari 22 negara seperti Thailand, Indonesia, Australia, Amerika Syarikat (AS) dan India.

Beliau berkata, latihan berkenaan penting bagi pasukan mencari dan menyelamat dengan mereka akan bekerjasama pada masa akan datang sekiranya berlaku bencana seperti gempa bumi dan banjir besar.

“Seperti gempa bumi yang berlaku di Nepal baru-baru ini, pasukan mencari dan menyelamat dari negara ini bekerjasama dengan Indonesia, Singapura dan Brunei untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi,” katanya.

Fokus utama ARF DiREx 2015 adalah untuk menguji penyelarasan awam-tentera, mewujudkan sinergi dan menyelaras usaha-usaha ke arah menyokong keberkesanan pelaksanaan Perjanjian Asean mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan (AADMER) sebagai landasan umum untuk pengurusan bencana rantau ini. – Bernama

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");