Jenayah

Remaja maut, rakan parah

KOTA TINGGI – Seorang remaja maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal ditunggang terlibat nahas di Kilometer 61.5, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, berhampiran Kampung Seluyut dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang itu, mangsa, Muhamad Norhakim Syafiq Zaini, 19, beralamat di Taman Pasak Indah, maut di tempat kejadian selepas bertembung kereta jenis Proton Saga FLX dipandu seorang pensyarah.

Manakala rakannya, Muhammad Safwan Shaharani, 14, beralamat di Felda Air Tawar 1, yang membonceng motosikal tersebut cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika kedua-duanya dalam perjalanan ke Kota Tinggi sebelum terlibat kemalangan di lokasi.

“Siasatan awal mendapati motosikal Yamaha LC ditunggang mangsa dipercayai cuba memotong kenderaan dan masuk kelaluan bertentangan sebelum bertembung Proton Saga FLX yang menghala Bandar Penawar.

“Akibat pertembungan itu mangsa dipercayai tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemboncengnya pula cedera parah,” katanya.

Rahmat berkata, mayat dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Daerah Kota Tinggi (HKT).

Tambahnya, pemandu kereta, Ahmad Hisyam Mustaga, 37, yang juga pensyarah di sebuah institusi Mara di Bandar Penawar tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");