Jenayah

Remaja OKU jatuh dalam kolah

BAGAN SERAI – Seorang remaja OKU ditemui lemas dalam kolah dalam bilik air di sebuah rumah di belakang Sekolah Menengah Alang Iskandar (SMAI), Jalan Siakap, di sini kelmarin.

Mangsa, Pee Sin Yee, 13, yang mengikuti kelas pendidikan khas dan bakal menduduki peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan (SK) Bagan Serai tahun ini dipercayai terjatuh ke dalam kolah tersebut ketika mahu mandi.

Ibu saudaranya, Poh Chiew Ping, 25, berkata, ketika kejadian, dia membawa mangsa masuk ke dalam bilik air dan menyediakan sebuah baldi plastik untuk memudahkan mangsa mandi.

Menurutnya, dia kemudiannya beredar ke dapur untuk menyiapkan bahan-bahan memasak.

“Beberapa minit kemudian, saya pergi ke bilik air untuk jenguk anak saudara saya dan terkejut lihat separuh badannya sudah termasuk ke dalam kolah.

“Saya segera keluarkan Sin Yee dan mendapati dia masih hidup, namun dalam keadaan nyawa-nyawa ikan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Parit Buntar di sini.

Chiew Ping berkata, melihat keadaan mangsa kritikal, dia dan suami bergegas membawa anak saudaranya itu ke Hospital Parit Buntar dan mangsa dimasukkan ke dalam wad kecemasan untuk rawatan segera.

Menurutnya, bagaimanapun doktor memaklumkan mangsa gagal diselamatkan dan meninggal dunia pada jam 8.15 malam kelmarin.

“Sin Yee dan kakaknya tinggal bersama kami sekeluarga setelah ibu bapa mereka berpisah beberapa tahun lalu,” katanya.

Chiew Ping berkata, mendiang Sin Yee sememangnya tidak mampu berjalan setelah mengalami lumpuh separuh badan sejak dilahirkan.

Katanya, mangsa sepatutnya menduduki peperiksaan UPSR tahun lalu, namun terpaksa ditangguhkan tahun ini kerana mengalami patah kaki.

“Sin Yee merupakan seorang anak saudara yang baik dan tidak pernah timbulkan masalah sepanjang tinggal bersama kami.

“Kehilangannya amat menyedihkan kami sekeluarga namun kami terpaksa terima walaupun hati berat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi berkata, mangsa dikenal pasti mengalami kecederaan kritikal sewaktu terjatuh ke dalam kolah.

“Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas dan tiada sebarang unsur jenayah dikenal pasti dalam kes ini,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");