Membawang Hari Ini

Rezeki wajah kacukan

Pelakon yang mula dikenali ramai menerusi aksinya dalam drama Bencinta, Erwin Dawson, 26, gembira apabila kehadirannya dalam bidang seni lakonan tempatan semakin diterima peminat.

Pelakon berasal dari Singapura itu mengakui meskipun pada awalnya dia perlu menjalani uji bakat seperti orang lain, namun bergelar juara pada program realiti Anugerah Skrin 2010 di Singapura membuka lembaran baru untuknya serius pelakon.

“Saya bersyukur melihat perjalanan seni saya semakin berjalan lancar. Tidak sangka peluang yang diberikan KRU Studios berlakon di Malaysia adalah titik mula untuk saya semakin dikenali di negara ini.

“Bencinta juga antara drama yang membantu menaikkan nama saya dan sehingga kini banyak tawaran berlakon. Selesai saja Bencinta, saya sibuk di lokasi drama bersiri Dunia Generasi Baru. Habis drama itu saya ke lokasi drama bersiri Syurga Nur terbitan JS Pictures yang akan disiarkan Ramadan ini,” kata anak ketiga daripada empat beradik ini.

Bencinta rintis jalan.

Melihat perjalanan seni lakonan yang semakin baik biasanya seseorang artis itu akan memberi fokus kepada satu bidang saja. Namun tidak pada Erwin kerana dia turut meminati bidang nyanyian dan ­pengacaraan.

“Kalau bercerita pada awal pembabitan saya dalam bidang seni, sebenarnya saya mahu jadi penyanyi. Saya pernah menyertai Singapore Idol dan hampir berjaya ke semua peringkat uji bakat, namun kerana terikat dengan Khidmat Negara (NS) saya terpaksa melupakan hasrat itu.

“Habis saja NS, saya bekerja sementara sehinggalah saya menyertai Anugerah Skrin. Kemudian, saya diajak kawan iaitu Atrez, menyanyi bersamanya. Sebagai pengenalan, saya dan Atrez bersatu dalam kumpulan duo yang diberi nama A-Ok.

“Kami akan tampil dengan single yang ‘catchy’ berjudul Bujeng. Lagu ini ciptaan sepenuhnya kawan saya. Kami memilih genre muzik seperti ini berikutan ia kini sedang menjadi kegemaran pendengar,” katanya.

Memiliki wajah yang komersial, antara sebab dia senang mendapat tawaran berlakon, lelaki berdarah campuran Melayu-New Zealand ini menganggap itu semua hanya kebetulan.

“Apapun saya bersyukur dengan anugerah Allah SWT kerana dengan memiliki wajah kacukan, rezeki saya dalam bidang seni dipermudahkan. Ada juga watak yang memang memerlukan wajah kacukan seperti saya menyebabkan saya senang menerima tawaran berlakon.

“Pun begitu, saya akui pada awal pembabitan dalam dunia seni jalan yang saya lalui tidaklah terlalu mudah, apatah lagi industri lakonan di Singapura tidak besar jadi bukan senang nak popular.

“Selama lima tahun juga saya berulang-alik Singapura dan Kuala Lumpur setiap kali ada tawaran berlakon. Sekiranya perjalanan seni saya semakin lancar di sini, saya berhasrat untuk menetap di Malaysia,” katanya lagi.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");