Jenayah

Risau ikan kena renjatan elektrik

KUANTAN – Seorang pengusaha Projek Penternakan Ikan Air Tawar Berkelompok di Zon Industri Akuakultur, (ZIA) Kampung Pandan 2 di sini bimbang kejadian tiang elektrik yang tumbang dan terjatuh ke dalam kolam miliknya sejak lebih dua minggu lalu akan menyebabkan renjatan.

Abdul Majid Ahmad berkata, dia khuatir kira-kira 2,000 ekor ikan ternakannya yang kini sudah sampai masa untuk dijual mati akibat terkena renjatan memandangkan kabel yang berada dalam kolamnya itu dipercayai masih mengalir arus elektrik.

Menurutnya, akibat kejadian itu, dia tidak dapat untuk menjala atau memukat ikan jenis tilapia dan lampan untuk dijual walaupun mendapat permintaan daripada pemborong.

“Saya takut untuk turun ke dalam air kerana khuatir terkena renjatan memandangkan tiang bersama kotak fius dan kabel terendam di dasar kolam.

“Ekoran masalah ini, jualan ikan tergendala memandangkan permintaan pemborong tidak dapat dipenuhi namun paling dikhuatiri ikan akan mati akibat terkena renjatan elektrik sekiranya tiang dan kabel elektrik itu tidak dialihkan dengan segera,” katanya ketika ditemui di lokasi kolamnya , semalam.

Abdul Majid berkata, dia sudah memaklumkan kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung masalah itu namun berdasarkan maklum balas diterima, tiang elektrik di kawasan itu bukan di bawah seliaan syarikat terbabit sebaliknya bidang kuasa Lembaga
Pertubuhan Peladang Kawasan (LPPK).

“Saya hanya minta pihak berkenaan memotong talian buat sementara waktu supaya tiang dan kabel dapat dialihkan dan kerja-kerja menuai hasil ternakan ikan di kolam ini dapat dilakukan.

“Pemotongan talian tidak mengganggu pengusaha kolam di kawasan ini memandangkan kami di sini belum menggunakan sebarang peralatan elektrik seperti pam untuk operasi kolam,” katanya.

Menurutnya, tiang tersebut dipercayai tumbang akibat struktur tanah yang lembut dan masalah sama turut berlaku ke atas beberapa tiang lagi yang kini mula kelihatan condong.

“Saya amat berharap masalah ini dapat diberi perhatian pihak-pihak yang terlibat supaya sebarang masalah yang tidak diingini dapat dielakkan,” katanya sambil memberitahu dia amat berharap agar ikan ternakannya dapat dijual segera kerana itulah sumber pendapatannya
selain bekerja sebagai pemandu teksi.

Menurutnya, hasil kolamnya itu adalah yang terakhir untuk tahun ini memandangkan benih baharu tidak akan dimasukkan sehingga Februari atau Mac tahun depan.

“Kita bimbang jika anak benih dimasukkan tak sempat dituai memandangkan musim hujan yang dikhuatiri berlakunya banjir hanya beberapa bulan lagi,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");