Berita Hari Ini

RM222j dibelanja untuk projek tebatan banjir

KUANTAN – Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini diberitahu sejumlah RM222 juta peruntukan kerajaan persekutuan dan negeri telah dibelanjakan bagi membiayai projek tebatan banjir dari 2009 hingga 2014 di Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM216 juta peruntukan kerajaan persekutuan digunakan bagi projek berimpak tinggi dalam memastikan masalah banjir yang membelenggu penduduk setempat dapat diatasi.

“Sementara sebanyak RM5.1 juta peruntukan kerajaan negeri pula diagihkan mengikut daerah-daerah dan lebih difokuskan kepada kerja-kerja penyelenggaraan sungai dan saliran.

“Contohnya seperti pembaikan tebing sungai, mendalam dan membersihkan sistem perparitan dan anak-anak sungai,” katanya ketika menjawab pertanyaan Lee Chean Chung (DAP-Semambu) pada sidang Dun di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Chean Chung meminta penjelasan semua Rancangan Tebatan Banjir yang dijalankan di negeri ini dari 2009 hingga 2014.

Mengenai tahap keberkesanan projek bagi mengatasi masalah banjir di negeri ini, Mohd Soffi berkata kebanyakan kawasan yang dahulu sering mengalami banjir kini tidak lagi ditimpa masalah tersebut.

“Setakat ini projek tersebut memberi kesan positif terhadap kawasan yang sering ditimpa musibah banjir, kerajaan negeri juga ada memohon peruntukan tambahan dari kerajaan persekutuan bagi meneruskan projek tebatan banjir di kawasan-kawasan lain yang dikenal pasti sering ditimpa banjir,” katanya.

Sementara itu Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membuat kajian terperinci mengenai kawasan yang sering banjir sebelum Projek Penempatan Semula Banjir diwujudkan.

“Sukar untuk kita mencari kawasan yang sesuai bagi menempatkan semula mangsa banjir ini, namun kerajaan negeri dengan kerjasama JPS selepas ini akan buat kajian terlebih dahulu sama ada kawasan penempatan semula itu berisiko banjir atau tidak sebelum projek dilaksanakan,” katanya.

Adnan menjawab pertanyaan Mohamed Arifin Awang Ismail (BN-Chenor) sama ada kerajaan negeri bercadang untuk mewujudkan Skim Rancangan Perumahan Penempatan Semula Banjir seperti yang pernah dilaksanakan pada 1971. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");