Berita Hari Ini

RMK11 fokus tingkatkan pendapatan rakyat – Muhyiddin

REMBAU: Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) memfokuskan usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat bagi mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan mensasarkan untuk meningkatkan pendapatan per kapita rakyat yang berada di dalam kelompok 40 peratus ke bawah, dari RM2,500 sebulan kepada RM5,000 sebulan menjelang 2020.

“The bottom 40 ini (isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah) yang dikatakan banyak, masih lagi dalam keadaan yang pendapatan mereka belum tinggi, tidak miskin tapi pendapatan mereka belum cukup tinggi untuk tingkatkan taraf hidup mereka dan membiayai segala keperluan yang mereka kehendaki untuk maju ke hadapan.

“Jadi apa yang disebutkan dalam RMK11, selain tumpukan pada pembangunan luar bandar, ialah untuk tambahkan pendapatan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Ilham Desa Peringkat Kebangsaan 2015 di sini.

Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, dan kira-kira 10,000 orang. Muhyiddin berkata dalam RMK11, kerajaan komited untuk meningkatkan kemahiran dan kepakaran rakyat sebagai satu daripada cara untuk membantu rakyat menjana pendapatan tambahan.

“Dengan kepakaran dan ilmu yang ada, mereka boleh menggunakan kemahiran mereka untuk menjana pendapatan tambahan.

“Contohnya, kalau dulu sekadar pekebun biasa, dengan kemahiran dan ilmu yang ada, mereka boleh menambah nilai kepada produk tanaman mereka.

“Kalau dulu sekadar hasil mentah yang dijual, tetapi kini boleh dijual dalam bentuk yang dah diproses seperti daripada pisang biasa kepada pisang salai,” katanya.

Oleh itu, Muhyiddin berkata rakyat mesti bersama-sama dengan kerajaan untuk menjayakan RMK11 dan tidak mendengar dakyah pihak pembangkang yang boleh membantutkan usaha kerajaan membangunkan Malaysia. – BERNAMA

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");