Berita Hari Ini

Saran kerjasama manfaat pasaran kewangan Islam

TOKYO – JEPUN. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta Jepun berganding bahu dengan Malaysia untuk melibatkan diri dalam aktiviti berkaitan kewangan Islam dan memanfaatkan pasaran global yang besar.

Jepun dengan kepakaran perindustrian dan teknologi, dan Malaysia dengan kepakaran teknikal dalam kewangan Islam, kata beliau, dapat menyediakan peluang untuk mewujudkan perikatan yang hebat, di Asia Tenggara dan Asia Timur.

“Oleh itu, marilah kita berusaha ke arah ‘isshoni hatten shimashou’, berkembang bersama-sama,” kata beliau dalam ucaptama pada rundingan Meja Bulat Forum Ekonomi Islam Sedunia, yang dianjurkan bersama oleh Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) dan Alliance Forum Foundation.

Turut hadir ialah Pengerusi WIEF Tun Musa Hitam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan wakil-wakil dari 31 buah negara.

Walaupun dengan kadar pertumbuhan pesat di rantau ini baru-baru ini, permintaan bagi kewangan Islam di Asia Tenggara masih rendah, kata Najib.

“Potensi Indonesia, sebagai contoh, masih belum diteroka sepenuhnya. Filipina, Thailand dan Kemboja turut mempunyai minat. Jadi, ini adalah satu peluang, dan kami mengalu-alukan penglibatan Jepun dalam pasaran baru dan berkembang ini,” katanya.

Najib, yang berada di sini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari berkata, kali pertama beliau mengemukakan idea Jepun bekerjasama dalam kewangan Islam ialah semasa mesyuarat dengan rakan sejawatan Shinzo Abe, pada Julai 2013.

“Kami membincangkan sokongan daripada kerajaan Jepun dan pihak berkuasa untuk menggalakkan syarikat-syarikat Jepun, institusi kewangan dan pelabur untuk terlibat dalam aktiviti berkaitan kewangan Islam dengan Malaysia.

“Kami, sebaliknya, akan menawarkan bantuan teknikal kepada Jepun dalam bidang ini,” kata beliau.

Semasa menjelaskan mengenai kejayaan Malaysia, Najib berkata, negara telah memainkan peranan dengan secara konsisten menjadi penerbit sukuk terbesar di dunia.

Pada 2014, jumlah sukuk terkumpul global adalah hanya lebih US$300 bilion, dengan Malaysia menyumbang US$173 bilion atau 57.4 peratus daripada jumlah keseluruhan dan Arab Saudi, US$50.4 bilion atau 16.7 peratus di tempat kedua.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, aset kewangan Islam global kini berjumlah kira-kira US$2 trilion.

Walaupun ini masih sedikit berbanding dengan aset kewangan konvensional, kadar pertumbuhan tahunan terkumpul bagi tempoh 2009 hingga 2014 menakjubkan pada 17 peratus.

Institusi kewangan Jepun kini beralih kepada aktiviti kewangan berkaitan kewangan Islam, kata Najib, merujuk kepada Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ yang menjadi bank komersial pertama dari negara ini untuk menerbitkan sukuk melalui di anak syarikat Malaysia pada September tahun lepas.

Awal tahun ini, Sumitomo Mitsui Corp Malaysia mendapat kebenaran untuk menawarkan perkhidmatan kewangan Islam di Malaysia, katanya.

Melalui permulaan ini, Najib berkata, beliau percaya kedua-dua negara boleh menggunakan pengalaman untuk mengadakan lebih banyak perkongsian kerjasama yang lebih menyeluruh bukan sahaja di Malaysia dan Jepun, tetapi juga di negara-negara di mana syarikat-syarikat dari kedua-dua negara mempunyai kepentingan perniagaan.

Pada skala yang lebih besar, beliau berkata, pada akhir 2013 China mengumumkan rancangan untuk menubuhkan Bank Pelaburan Infrastruktur Asia atau AIIB, dan pada masa ini mempunyai 57 anggota dan modal berbayar sebanyak US$50 bilion.

Beliau berkata, Malaysia memahami dan menghormati bahawa Jepun agak keberatan tentang penubuhan AIIB tersebut, namun walaupun tanpa perantara itu, adalah jelas bahawa negara-negara Asia perlu melabur dalam aset infrastruktur yang nyata.

“Saya boleh katakan tanpa ragu-ragu bahawa model kewangan Islam adalah sangat sesuai untuk tujuan ini, kerana dapat menetapkan terma pembiayaan yang lebih baik, memandangkan cirinya bersandarkan aset sedia ada,” kata Najib. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");