Isu Panas

Serangan terhadap Hadi tidak beri kesan besar

KUALA TERENGGANU – Serangan berterusan terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dianggap hanya gangguan kecil atau disifatkan ‘kemuncup’ yang tidak memberi kesan besar terhadap perjuangan Pas dalam menjayakan misi dan visi parti.

Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Terengganu, Dr B Chandran turut memberitahu bahawa pendirian pihaknya terhadap Pas tidak sesekali tergugat dengan serangan tersebut dan berdiri teguh di belakang kepimpinan Abdul Hadi.

Melihat isu yang mengaitkan Abdul Hadi sebagai mesra Umno, Chandran menyifatkan ia sebagai satu tuduhan kerana yang jelas pemimpin tersebut telah pun menunjukkan kesungguhan serta ketegasan beliau dalam mempertahankan Pas dan parti itu juga terus utuh bersama-sama PR.

“Dalam politik ada serangan dan tidak. Jadi perjuangan kita tidak sepatutnya tergendala, terhalang atau hilang fokus untuk kita memastikan dasar perjuangan parti tercapai.

“Bagi DHPP, kita ambil sikap begitu, kita tidak mahu ditarik sekali dengan masalah-masalah seperti itu kerana kita tiada masa untuk itu,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan pemimpin DAP terutama Lim Guan Eng yang sejak belakangan ini menyerang Abdul Hadi dan sering mengulangi bahawa hati pemimpin itu bersama-sama Umno.

B Chandran turut menepis dakwaan tersebut memberitahu bahawa penyatuan antara Umno dan Pas juga tidak mungkin berlaku kerana perjuangan antara kedua-duanya berbeza sama sekali.

Sementara itu, beliau memberitahu bahawa DHPP turut berperanan menarik lebih ramai golongan bukan Islam menyertai Pas.

Jelasnya, jika dalam PKR dan DAP mempunyai anggota bukan Islam, pihaknya juga berperanan meramaikan jemaah bukan Islam untuk menyokong kepimpinan Pas dan membuktikan parti itu bukan sahaja politik pilihan kepada golongan orang Islam.

“Sebagai parti yang sudah lama, kita akan main peranan mantapkan parti dan dengan kematangan parti ini, kita juga perlu main peranan untuk ganti bukan Islam dan Melayu yang ada dalam PKR serta DAP,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");