Perak Hari Ini

Sultan Nazrin, Sultan Berjiwa Rakyat

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah merupakan seorang Raja yang berjiwa rakyat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, ia dapat dilihat dengan keperibadian baginda yang begitu prihatin terhadap rakyat di negeri Perak.

Beliau berkata, baginda adalah seorang Raja Pemerintah yang mempunyai sifat rendah diri dan tawaduk.

“Saya menyaksikan secara peribadi sepanjang berada di bawah Tuanku dimana saya telah pergi ke merata tempat baik di kampung-kampung, dipinggir taman-taman atau perkampungan Orang Asli sekalipun.

“Pernah satu ketika saya terlihat bagaimana seorang anak kecil berlari ke arah Tuanku dan terus memeluk di peha Tuanku sehingga menimbulkan pelbagai reaksi.

“Namun baginda telah memberitahu kepada orang di sekelilingnya supaya membiarkan kanak-kanak itu dan kanak-kanak itu terus meletakkan kepala di peha baginda,” katanya lagi.

Zambry berkata, beliau juga turut menyaksikan bagaimana Sultan Nazrin begitu sedih melihat sesuatu yang berlaku kepada rakyat di negeri itu.

“Meskipun adakalanya baginda tidak menggambarkannya tetapi saya dapat jelaskan di sini apabila berada bersama baginda dan wajah baginda yang sedih dan sugul melihat keadaan berkenaan.

“Umpamanya semasa banjir baru-baru ini saya dapat melihat sendiri bagaimana baginda prihatin untuk turun ke bawah tanpa mengikut protokol, dan baginda duduk bertanyakan khabar kepada mangsa-mangsa banjir tersebut,” jelasnya.

Mengulas mengenai pengalaman peribadinya, beliau berkata keperibadian baginda yang bersifat rendah diri amat menyentuh perasaannya yang mana baginda mencemar duli untuk menziarahi keluarga beliau semasa bapanya meninggal.

“Saya juga masih teringat secara peribadi dimana saya tidak menjangka bahawa Tuanku datang ke kampung saya yang mana semua tahu ia benar-benar kampung.

“Tanpa saya ketahui, walaupun rumah saya rumah kampung yang tidak ada apa, Tuanku datang dengan watak hanya sebagai manusia biasa yang mengejutkan semua,” katanya lagi.

Sementara itu, sifat Tuanku yang prihatin dengan rakyatnya dapat dilihat apabila baginda menitahkan agar  istiadat Pertabalan baginda sebagai Sultan Perak ke-35 dilakukan secara sederhana.

“Kita rasa terharu kerana seorang Raja Pemerintah begitu prihatin sebenarnya menjaga dan memastikan supaya perbelanjaan-perbelanjaan yang boleh membawa kepada pembaziran dielakkan,” jelasnya.

Kepintaran Yang Mengagumkan

Zambry berkata, rakyat di negeri ini harus bersyukur kerana mempunyai pemerintah yang mempunyai kelayakan yang sangat mengkagumkan

“Ianya bukan sekadar kepada pencapaian akademik sehingga ke peringkat tertinggi tetapi juga DYMM Tuanku berperanan sebagai seorang cendiakiawan Diraja yang benar-benar berfungsi.

“Baginda boleh memberikan buah fikiran dan memberikan nasihat bukan hanya peringkat kebangsaan atau peringkat negeri tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Beliau secara peribadinya berkata, itu merupakan satu rahmat besar kerana seorang Raja Pemerintah yang dilingkungi dengan tradisi keilmuan baginda sentiasa memahami dan meyakini perkara-perkara yang berlaku.

“Sentiasa mendekati dengan golongan cendiakawan dan agamawan umpamanya dalam usaha-usaha kita untuk menambahbaikan lagi pemerintahan dan pentadbiran di negeri ini,” jelasnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");