Jenayah

Suspek kes tetak ditahan

KUANTAN – Seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam serangan terhadap empat sekeluarga pada 19 April lalu di Felda Panching Timur, dekat sini ditahan polis selepas gagal melarikan diri, malam kelmarin.

Lelaki itu berjaya diberkas di Felda Panching Selatan apabila terjatuh motosikal ketika cuba melarikan diri dari anggota polis yang sebelum itu memperkenalkan diri untuk pemeriksaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 itu, lelaki berusia 37 tahun itu bagaimanapun nekad melarikan diri namun gagal selepas dikejar polis hampir setengah jam.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, suspek masih berusaha untuk melarikan diri selepas terjatuh tetapi gagal kerana polis turut mengepung kawasan berkenaan.

“Polis berjaya menangkap suspek susulan beberapa anggota dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Jaya Gading melakukan rondaan cegah jenayah terserempak dengan suspek sedang menunggang motosikal,” katanya.

Menurutnya, anggota polis terpaksa bergelut dengan suspek yang bertindak agresif dan pemeriksaan menemui sebilah sabit yang dipercayai miliknya selain sah positif dadah.

Abdul Aziz berkata, susulan tangkapan pertama itu, dua lagi rakan suspek berusia lingkungan 30 tahun menyerah diri di Balai Polis Kuantan pada jam 6.40 pagi, semalam.

“Ketiga-tiga suspek ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan,” katanya.

Dalam kejadian 19 April lalu, empat beranak cedera diserang oleh sekumpulan lelaki yang bersenjatakan parang di Kampung Baru Seri Pandan, Panching dipercayai perselisihan faham kedua-dua pihak.

Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dengan bantuan keluarganya untuk mendapatkan rawatan lanjut.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");