Jenayah

Syarikat kiriman wang didenda

SEREMBAN – Sebuah syarikat kiriman wang dan dua pengarahnya masing-masing didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban semalam, atas pertuduhan menjalankan perniagaan perkhidmatan wang tanpa lesen, dua tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Kamarudin Kamsun terhadap syarikat terbabit Luxury Star Sdn Bhd dan kedua-dua pengarah iaitu Mohamed Rafi Mohamed Yusof dan Mohamed Ismail Mohamed Mustafa selepas masing-masing membuat pengakuan bersalah.

Sebelum ini mereka mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan ketika dihadapkan ke mahkamah sama pada 5 Februari lalu, namun menukar pengakuan pada hari pertama perbicaraan, semalam.

Kamarudin menetapkan hukuman denda RM50,000 bagi setiap pertuduhan di mana masing-masing berdepan dengan dua pertuduhan.

Mohamed Rafi dan Mohamed Ismail masing-masing turut dikenakan hukuman penjara sehari dan jika gagal membayar denda tersebut mereka diperintah menjalani hukuman penjara tambahan setahun.

Mengikut pertuduhan pertama yang dibacakan berasingan Luxury Star, Mohamed Rafi dan Mohamed Ismail didakwa menjalankan perniagaan perkhidmatan wang tanpa lesen di bawah Seksyen 7 Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Akta 731) iaitu perniagaan pengiriman wang.

Perbuatan itu dilakukan di KM Plaza, Jalan Tuanku Munawir di sini, pada jam 12.45 tengah hari, 9 November 2013.

Manakala bagi pertuduhan kedua, kesalahan sama dilakukan di lokasi sama kira-kira jam 11.40 pagi, pada 17 Disember 2013.

Pertuduhan bagi kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Bank Negara Ariff Firman Mohd Sidek dan Siti Nabila Huda Zaidisham manakala tertuduh diwakili peguam P Gunalan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");