Jenayah

Tak sempat joli hasil curi

KUALA TERENGGANU – Dua remaja lelaki terpaksa berputih mata apabila tidak sempat berjoli dengan hasil curi setelah dicekup sendiri oleh pemilik kedai berkenaan, dalam kejadian di Kampung Gelugor Kedai, di sini, Jumaat lalu.

Perbuatan dua suspek masing-masing berusia 16 dan 17 tahun itu disedari pemilik kedai tersebut berusia 32 tahun yang secara kebetulan melalui kedai miliknya ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang terletak di lokasi sama, lebih kurang jam 6.30 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, mangsa bersama isteri dan anaknya mula mengesyaki sesuatu selepas melihat pintu kedainya terbuka.

Katanya, mangsa yang curiga dengan keadaan itu mengambil keputusan untuk berhenti dan memeriksa kedainya kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.

“Tekaan mangsa tepat apabila pemeriksaan mendapati terdapat dua lelaki tidak dikenali di dalam kedainya yang sedang menyelongkar tempat duit dan kad prabayar.

“Namun, dua suspek tidak menyedari tindak tanduk mereka sedang diperhatikan pemilik kedai itu memandangkan mangsa menghampiri kedainya secara senyap.

“Ketika mereka asyik menyelongkar, mangsa segera menahan dua suspek dan menyerahkan mereka kepada polis yang datang tidak lama kemudian,” katanya.

Wan Abd Aziz berkata, pemeriksaan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek berusia 16 tahun positif dadah jenis methamphetamine.

“Hasil siasatan yang dijalankan turut mendapati kedua-dua suspek dipercayai memecah masuk premis itu dengan cara mengumpil kunci mangga di pintu hadapan.

“Suspek juga tidak sempat larikan wang tunai dan kad prabayar dianggarkan bernilai RM800 serta lima telefon bimbit selepas dicekup pemilik kedai itu sendiri,” katanya.

Kedua-dua mereka kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");