Sukan Hari Ini

Tamparan buat Liga M

Kekalahan skuad Kelantan kepada LionsXII di pentas final Piala FA, membawa mood suram kepada arena bola sepak tempatan yang terpaksa merelakan trofi berkenaan menyeberangi Tambak Johor, biarpun di atas kertas skuad Azraai Khor Abdullah mempunyai kelebihan untuk memburu kejuaraan.

Namun, kemenangan Fandi Ahmad dan anak buahnya, memberi tamparan buat pasukan Liga Malaysia yang selama ini terlalu ghairah menggunakan khidmat pemain import demi mengukuhkan skuad mereka.

Tumpuan Arena Metro terarah kepada luahan pengkritik bola sepak, Khalid Ali yang melihat gaya bola sepak ‘ala Fandi’ yang bergantung sepenuhnya kepada pemain tempatan masih mampu untuk menghadirkan gelaran juara.

Malah, seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh berpendapat sudah sampai masanya kelab Liga M kembali meneliti matlamat penganjurannya iaitu membentuk pemain tempatan berkualiti dan tidak bergantung kepada tenaga import.

SPURS MENYENGAT

Malah, sewaktu kehadiran lima pemain import turut diharap mampu mencipta kejutan ketika perlawanan persahabatan di antara Pilihan Malaysia menentang pasukan Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur ternyata hanya menghadirkan keputusan ‘sederhana’.

Sebelum perlawanan itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima kecaman hebat kerana menganjurkan perlawanan yang dianggap perlawanan ‘sarkas’, malah legenda bola sepak tempatan, Datuk Santokh Singh mempersoalkan kehadiran pemain import yang mewakili negara, berbanding sebelum ini yang mempertaruhkan 100 peratus pemain tempatan.

Dua jaringan pemain sensasi Spurs, Harry Kane, memastikan kemenangan pasukan London Utara dengan jaringan Pilihan Malaysia, menerusi penyerang import Perak, Thiago Junior Aquino dalam aksi yang menghiburkan 28,000 penonton yang hadir.

Apa yang pasti aksi pemain import lebih mencuri tumpuan hingga mendapat pujian Kane yang memberi perhatian terhadap Thiago dan pemain Terengganu, Paulo Rangel.

JOHOR DT GARANG

Namun, aksi Johor Darul Ta’zim di kancah Piala AFC setidak-tidaknya mengukir keceriaan. Mereka menang besar 5-0 ke atas kelab Myanmar, Ayeyawady United di Stadium Larkin dalam aksi pusingan kedua.

Kemenangan itu meletakkan skuad kendalian Mario Gomez itu ke suku akhir kejohanan itu, 25 Ogos ini.

BAHANG SUKAN SEA

Tidak ketinggalan bahang Sukan SEA Singapura yang semakin hangat dirasai kontinjen negara, namun apabila sasaran 56 peratus pingat dalam acara disertai dan bukannya jumlah emas menjadi buruan seperti edisi sebelumnya, tentu sekali ia mencetuskan tanda tanya.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan ia pendekatan baru demi memastikan atlet remaja turut diberi ruang bertanding di Sukan SEA.

Menurutnya, jika sasaran pingat emas diletakkan persatuan sukan kebangsaan akan cenderung membawa atlet senior yang dijamin mampu muncul juara.

– http://www.hmetro.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");