Jenayah

Terkilan sikap pemandu bas

MARAN – Sepasang suami isteri warga emas terkilan dengan sikap tidak bertimbang rasa pemandu sebuah bas ekspres yang tergamak menurunkan mereka di tepi jalan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dekat susur keluar Maran ketika hujan lebat.

Shaharudin Hamzah, 67, dan isteri Fatimah Omar, 66, menaiki bas ekspres berkenaan bagi destinasi dari Kota Bharu ke Temerloh dan mereka sepatutnya diturunkan di Bandar Maran.

Shaharudin berkata, dia menggunakan perkhidmatan syarikat bas tersebut sejak beberapa tahun lalu dan kebiasaan pemandu akan berhenti di pondok menunggu bas berhadapan Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Maran bagi menurunkan penumpang (jika ada), sebelum meneruskan perjalanan ke Temerloh.

Menurutnya, pada malam kelmarin, pemandu bas syarikat yang sama enggan memasuki Bandar Maran dengan alasan tidak mengetahui jalan ke sana.

“Kami bertolak dari Kota Bharu pada jam 9.30 pagi dan sebaik sampai di Setiu, bas asal mengalami kerosakan dan digantikan dengan bas lain termasuk pemandu.

“Ketika di Gambang, saya maklumkan kepada pemandu berkenaan untuk turun di Bandar Maran.

“Tetapi lebih kurang jam 8 malam apabila tiba dekat dengan susur keluar tol Maran, pemandu bas tidak mahu masuk ke Bandar Maran dengan alasan tidak tahu jalan,” katanya.

Shaharudin berkata, penumpang lain turut membantah tindakan pemandu bas tersebut yang tetap bertegas walaupun ketika itu hujan lebat.

Menurutnya, tanpa sebarang pilihan, mereka terpaksa turun sebelum bas itu berlalu pergi.

“Kami ingatkan pemandu bas akan masuk Bandar Maran seperti kebiasaan dan selalunya bila sampai baru kami telefon anak minta ambil.

“Bila pemandu itu bertegas maka terpaksalah kami turun dan menunggu anak datang ambil hampir 30 minit dalam hujan lebat.

“Hendak berjalan ke tol Maran pula jauh malah kudrat yang kurang berdaya dengan membawa beg, memang kami tidak mampu berjalan kaki ke sana,” katanya.

Shaharudin berkata, dia cukup terkilan dengan sikap pemandu bas tersebut yang tidak bertimbang rasa terhadap penumpang dan berharap kejadian sama tidak berulang kepada orang lain.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");