Jenayah

Warga asing dibunuh, diikat pokok

DUNGUN – ‘Kerana mulut badan binasa’, itu yang berlaku kepada seorang ketua pekerja warga Bangladesh yang mayatnya ditemui dalam keadaan tragis terikat pada sebatang pokok di lereng bukit, di kawasan tapak projek perumahan Rimbunan E Kasih, Rantau Abang, di sini, semalam.

Mangsa yang dikenal sebagai Chanmia, 50 dipercayai dibunuh oleh tiga anak buahnya selepas berlaku perselisihan faham dan dipercayai berpunca apabila mangsa mengeluarkan kata-kata kesat yang menimbulkan kemarahan ketiga-tiga suspek.

Berdasarkan pengakuan suspek, mangsa telah mencarut kepada ketiga-tiga suspek menyebabkan mereka berang dan bertindak mengikat kaki tangan serta menutup mulut mangsa dengan kain sebelum menolak ke dalam cerun dan kemudian mengikat mangsa pada sebatang pokok.

Berselisih faham

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, dua daripada suspek adalah warga Bangladesh dan seorang lagi dari Myanmar serta berusia antara 18 dan 40 tahun.

Menurutnya, selepas membunuh ketua mereka. Ketiga-tiga suspek bersama seorang lagi rakan cuba melarikan diri dari tempat kerja dengan alasan sudah berhenti kerja.

“Difahamkan ketiga-tiga suspek ingin melarikan diri setelah kejadian itu tetapi berjaya dipujuk dan setelah diselidik mereka didapati berselisih faham dengan ketua pekerja di situ dan telah membunuh.

“Hasil pengakuan ketiga-tiga suspek, mayat mangsa ditemui di lereng bukit dalam keadaan terikat kaki, tangan dan badan pada sebatang pokok oleh pengawal keselamatan yang kemudiannya memaklumkan kepada pihak polis.

“Difahamkan, lebih kurang jam 7 petang, mangsa memarahi suspek di kawasan mereka menangkap ikan di sekitar tapak perumahan itu dan berlaku perbalahan mulut.

“Bagaimanapun pada jam 9 malam, mangsa dikatakan telah mencarut suspek dan mencetus kemarahan sehinggakan mangsa terbunuh setelah diperlakukan dengan kejam,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, kesemua suspek berjaya ditahan pada malam yang sama ketika cuba melarikan diri di hadapan masjid Rantau Abang.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

“Manakala ketiga-tiga suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Selain pihak polis, operasi mengeluarkan mayat mangsa dari kawasan curam itu turut dibantu lima JPAM Dungun.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");