Jenayah

Warga emas hilang ditemui maut

SELAMA – Misteri kehilangan seorang warga emas sejak 11 Mei lalu, akhirnya terungkai apabila mayatnya ditemui pada jam 10.30 pagi di kawasan ladang kelapa sawit, kira-kira 3 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang, semalam.

Mayat Mohammad Taib, 87, yang sebelum ini dipercayai keluar dari rumahnya untuk bersiar-siar ditemui seorang pekerja ladang, Jalaludin Abdul Aziz, 28.

Jalaludin berkata, ketika menjalankan kerja-kerja mengambil buah kelapa sawit, dia terhidu bau busuk dan segera memeriksa dari mana datangnya bau itu.

“Saya terkejut jumpa cebisan tulang manusia dan dalam masa sama terfikir tentang warga emas yang hilang.

“Apabila saya perhatikan keadaan mayat itu, saya nampak tulang dari paras pinggang dan kepala berasingan tetapi saya tak berani sentuh.

“Saya segera maklumkan kepada pihak pengurusan ladang dan mereka melaporkannya kepada pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.

Anak mangsa, Ahmad Puzi Mohamad, 58, berkata, walaupun sedih namun dia bersyukur jasad bapanya dapat disempurnakan dengan baik.

“Saya dapat mengecam mayat arwah berdasarkan seluar yang dipakai.

“Sebelum ini, pelbagai usaha dijalankan untuk mencari ayah, saya anggap pertemuan ini ketentuan ALLAH,” katanya.

Berdasarkan maklumat penduduk setempat, lokasi penemuan mayat sudah beberapa kali diperiksa ketika operasi mencari, tetapi tiada sebarang tanda menunjukkan mangsa berada di situ.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba Selama, Shahidan Hassan berkata, sejurus menerima maklumat mengenai penemuan mayat tersebut, anggota bomba bergegas ke lokasi berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Selama, Asisten Superintendan Abdul Ghani Zainun mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat mangsa.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Selama untuk bedah siasat dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");