Jenayah

12 tinggal sehelai sepinggang

KUALA LIPIS – “Selepas dapat panggilan telefon daripada jiran saya terus balik dan mendapati rumah saya dah musnah terbakar termasuk sebuah kereta yang disimpan di garaj,”.

Demikian luah mangsa kebakaran, Muzahar Mohamad, 48, ketika menceritakan kejadian yang memusnahkan kediamannya serta tiga rumah yang lain di Rancangan Penempatan Semula Kampung Merapoh kira-kira jam 5.30 petang, kelmarin.

Kejadian itu menyebabkan 11 mangsa tinggal sehelai sepinggang.

Muzahar berkata, ketika kejadian itu dia di tempat kerja dan terus bergegas pulang sebaik dimaklumkan oleh jirannya.

“Kejadian ini menyebabkan harta benda saya musnah dalam sekelip mata dan saya harap pihak berkaitan membantu untuk bina semula rumah untuk jadi tempat berteduh saya dan keluarga,” katanya.

Muzahar bagaimanapunbersyukur sebab malapetaka ini tidak mengancam nyawa sesiapa selain mengakibatkan kemusnahan harta benda.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lipis, Haslizan Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.10 petang.

Menurutnya, seramai enam anggota bomba Lipis dengan sebuah jentera pemadam tiba di tempat kejadian kira-kira jam 6.30 petang dan mendapati api berjaya dikawal oleh anggota bomba sukarela Merapoh dan anggota serta jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Kelantan.

“Api dapat dikawal sepenuhnya daripada merebak ke tempat lain dengan kekuatan 16 anggota sukarela Merapoh, enam anggota Balai Bomba Gua Musang dan dibantu dua jentera.

“Operasi memadam kebakaran tamat pada jam 8.33 malam dan kesemua mangsa selamat dalam kejadian itu,” katanya.

Haslizan berkata, fenomena cuaca panas dan kedudukan rumah kayu yang dibina rapat menyebabkan api pantas merebak.

“Kita bersyukur dan berterima kasih kepada Pasukan Bomba Sukarela Merapoh yang bertungkus lumus berusaha mengawal api dan keselamatan mangsa dengan menggunakan peralatan hos dan sebuah kereta pemadam sebelum anggota dari Lipis dan Gua Musang tiba,” katanya.

Menurutnya, punca kejadian dan taksiran kerugian masih disiasat oleh Pasukan Bomba Zon Pahang Tiga.

Dalam pada itu, Adun Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, pihaknya memberi jaminan kerajaan negeri akan membantu mangsa terlibat.

Beliau berkata, laporan segera akan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk memohon dana bantuan bencana bagi membaik pulih semula kediaman mangsa.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga akan membantu mangsa berkenaan khususnya dari segi pakaian, peralatan tidur dan makanan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");