Jenayah

13 GRO warga asing ditahan Imigresen

MELAKA – Sebanyak 13 wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan Ops Ikrar di sebuah kelab malam di Melaka Raya di sini pada kira-kira 12.30 tengah malam tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Melaka Abu Bakar Sidek Hasan berkata mereka terdiri daripada sembilan wanita warga China dan empat wanita Vietnam berusia antara 20 dan 30-an ditahan mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana disyaki melanggar syarat pas, permit dan pas sempadan.

Beliau berkata dua warga Singapura pemilik premis kelab malam tersebut berusia 40-an turut ditahan mengikut Seksyen 55(b) Akta Imigresen kerana dipercayai menggaji warga asing secara tidak sah.

“Risikan telah dijalankan kira-kira dua minggu hasil maklumat orang awam. Kita akan jalankan siasatan lanjut terhadap mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ops Ikrar di tiga lokasi berasingan di sekitar daerah Melaka Tengah di sini dilaksanakan empat jam bermula 10 malam tadi.

Dalam operasi yang sama juga, Abu Bakar Sidek berkata dua wanita warga Rohingya berusia 17 dan 20 tahun ditahan di sebuah rumah di Kampung Pengkalan Rama Pantai di sini.

Beliau berkata wanita berusia 20 tahun itu didapati sedang mengandung serta tinggal di rumah tersebut sejak empat bulan lepas dan mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit sah.

Sementara itu, pihaknya turut menemui dua rumah teres dua tingkat yang dijadikan tempat judi berkomputer di Taman Cheng Perdana di sini pada 11.15 malam tadi.

“Kita akan maklumkan perkara ini kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");