Jenayah

15 mak nyah ditahan di parti hari jadi

KOTA BHARU – Keseronokan 15 mak nyah menghadiri sambutan parti hari jadi sambil dihiburkan nyanyian penyanyi dikir barat tersohor, yang juga mak nyah, terbantut apabila diserbu penguat kuasa di sebuah hotel, di sini, malam kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 10.40 malam itu, semua lelaki berperwatakan lembut, bermekap tebal dan bergaun labuh, malah ada juga berbaju kurung moden, berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun, leka meraikan hari jadi seorang rakan mereka di tingkat dua hotel berkenaan.

Bunyi muzik yang bising boleh didengari sehingga luar hotel.

Difahamkan, penganjur menyewakan kawasan kolam hotel tersebut dengan harga RM1,000 untuk mak nyah terbabit sebelum diserbu penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI).

Berdasarkan aduan awam, seramai sembilan penguat kuasa JHEAIK dan 16 penguat kuasa MPKB-BRI melakukan serbuan di hotel terbabit.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Kelantan, Mohd Fadzuli Mohd Zain berkata, mereka ditahan selepas melakukan kesalahan berpakaian menyerupai wanita.

“Mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan 1985.

“Semua yang ditahan dibawa ke pejabat JHEAIK di Balai Islam Lundang untuk diambil keterangan,” katanya.

Menurutnya, ada juga mak nyah terbabit yang pernah ditahan sebelum ini kerana melakukan kesalahan sama.

“Ini kes pertama terhadap golongan berkenaan di negeri yang ditahan semasa mengadakan parti sepanjang tahun ini.

“Kita dapati, mereka ini tidak pernah serik walaupun pernah dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha MPKB-BRI, Rosnazli Amin berkata, pihaknya turut menyita peralatan nyanyian yang digunakan bernilai RM5,000 dan hotel terbabit dikenakan kompaun kerana tidak memohon permit hiburan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");