Isu Panas

A Samad sertai DAP bagi kesan pada parti Islam

KOTA BHARU – Tindakan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menyertai DAP memberi tamparan hebat buat parti Melayu-Islam di negara ini khususnya Pas, PKR dan Umno, sekali gus menjadikan beliau aset penting parti itu.

Timbalan Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, umum mengetahui selepas PRU13, DAP berusaha bersungguh- sungguh menarik sokongan orang Melayu untuk dijadikan ikon kepada masyarakat Melayu yang lain.

“Bagaimanapun, selepas Tunku Aziz Tunku Ibrahim keluar DAP, parti itu dilihat lebih berjaya menarik sokongan golongan muda Melayu berbanding lebih berusia.

“Apabila Pak Samad (A Samad Said) menyertai DAP, Sabtu lalu, ia memberikan satu kelebihan politik yang agak besar kepada usaha parti itu memperluaskan pengaruhnya dalam kalangan masyarakat Melayu, lebih-lebih lagi dengan pengaruh beliau sebagai Sasterawan Negara,” katanya.

Kamarul yang juga penganalisis politik, mengulas tindakan A Samad menyertai DAP di Gua Musang, Sabtu lalu.

Beliau berkata, penyertaan A Samad dalam DAP seharusnya buka mata pemimpin parti Melayu- Islam di negara ini untuk melihat dan mengkaji kelebihan yang ada pada parti itu sehingga berjaya menarik perhatian penulis puisi itu.

“Pak Samad sering berpuasa sunat dan kerap menghabiskan masa di masjid untuk beribadat, tetapi bagaimana beliau boleh tertarik untuk menyertai DAP yang perlembagaannya jelas menyebut tentang matlamat mereka untuk ‘mengesah dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal’, “katanya.

Dalam pada itu, Dr Kamarul berkata, beliau secara peribadi tidak begitu terkejut dengan tindakan A Samad menyertai DAP kerana sebelum ini beliau aktif menyertai program melibatkan DAP atau badan bukan kerajaan (NGO) tertentu.

“Pak Samad bukan hanya menyertai program malah turut memainkan peranan aktif dengan memegang jawatan penting dalam beberapa persatuan yang turut melibatkan DAP sebelum ini,” katanya.

Malah menurutnya, Pak Samad juga pernah mewar-warkan kepada media tentang kekaguman beliau kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, selain pemimpin DAP lain yang disifatkan bersih dan tekun bekerja.

“Berita penyertaan beliau dalam DAP bukan sesuatu mengejutkan, malah sudah boleh dijangka, bagaimanapun apa yang lebih mengejutkan apabila pengumuman itu dibuat ketika DAP dan Pas sedang berantakan dan kemungkinan bakal membawa haluan masing-masing,” katanya.

Menurutnya, tindakan mengumumkan perkara itu di kubu kuat Pas, Kelantan, pula seolah-olah cuba memberi isyarat kepada parti itu bahawa DAP masih mampu meraih sokongan Melayu meskipun tanpa sokongan Pas.

“Bagi saya, tindakan Pak Samad perlu dihormati selaras dengan kebebasan berpersatuan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, namun apabila beliau bersikap partisan hasil karya seni beliau selepas ini mungkin dianggap akan berpihak kepada pihak tertentu dan gagal diterima pihak lain,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");