Jenayah

‘Ayang jangan kahwin lain’

Kuala Kubu Bharu: “Kalau abang mati, ayang jangan kahwin lain sebab nanti tak jumpa kat sana (syurga).” Demikian kata-kata yang sering diucapkan Yusrizal Mohammed Yusoff kepada isterinya sebelum terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 408.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah Kuala Lumpur berdekatan Lembah Beringin di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, Yusrizal, 39, maut selepas lori dipandunya merempuh belakang lori kontena.

Isterinya, Rohayati Hidzir, 31, berkata, kata-kata itu kerap diucapkan arwah, tetapi dia menganggap itu hanya usikan suami.

“Arwah kerap ulang ayat itu, tetapi saya anggap itu gurauan. Bila saya tanya kenapa cakap begitu, arwah memberitahu kalau saya kahwin lain, tidak dapatlah berjumpa di syurga nanti,” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Kubu Bharu, semalam.

Rohayati berkata, kini hanya baju Melayu biru yang siap ditempah suaminya untuk menyambut Syawal menjadi kenangan.
Katanya, arwah menempah baju Melayu lebih awal, tetapi pakaian baru untuk dia dan anak tunggal mereka, Nur Syafiqah Irdina, 4, akan dibeli apabila hampir Syawal nanti.

“Baju raya untuk kami dia mahu beli kemudian, tetapi kini baju Melayu itu menjadi kenangan buat saya,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Hitam, Teluk Intan, Perak, petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam berkata, kemalangan membabitkan dua kenderaan dipandu di lorong kiri lebuh raya.

Katanya, kemalangan dipercayai berpunca apabila mangsa gagal mengawal lori sebelum merempuh belakang lori kontena yang membawa muatan komponen komputer.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu lori pasir tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala serta badan.

“Kemalangan turut menyebabkan lori kontena terbakar, namun api dapat dikawal pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");