Sukan Hari Ini

Badminton gusar sasar emas

HANYA empat aksi final disasarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada temasya Sukan Sea edisi kali ini yang akan berlangsung di Singapura, minggu ini.

Melihat dari sudut itu, skuad badminton negara seolah-olah tidak berani untuk meletakkan sasaran yang tinggi pada temasya tersebut.

Mungkin disebabkan prestasi semasa kem negara ketika ini yang membuatkan badan induk itu tidak memberi jaminan bahawa pingat emas mampu dicapai nanti.

Walaupun tidak menjelaskan sebab sebenar, Pengarah Teknikalnya, Morten Frost Hansen hanya memberitahu tidak meletakan sasaran secara khusus kutipan pingat sama ada pingat emas atau perak untuk skuad badminton negara kerana pelbagai perkara perlu diambil kira termasuk kekuatan negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.

Jelas Frost, meskipun saingan di Sukan Sea 2015 tidak sehebat Piala Sudirman, namun mereka tidak boleh memandang rendah cabaran dari peserta negara lain terutama seperti Indonesia dan Thailand kerana mereka turut memiliki barisan pemain yang cukup konsisten.

“Buat masa ini, kita perlu menerima hakikat bahawa tahap kita tidak terlalu tinggi, namun yang lebih penting, saya mahu mereka komited dan menampilkan prestasi yang baik.

“Sudah semestinya saya mahu melihat komitmen mereka dalam usaha mencapai penghargaan kepada negara. Dan, sudah tentu untuk memenangi seberapa banyak pingat emas.

“Apa pun, sasaran kami ialah empat aksi final dan selepas itu kita akan tengok sama ada akan memperoleh empat pingat emas atau empat pingat perak atau kombinasi kedua-dua pingat itu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sasaran empat aksi final itu dijangka hadir menerusi acara perseorangan lelaki, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran dan sekiranya perseorangan wanita berjaya melangkah ke peringkat akhir, perkara itu akan menjadi bonus buat pasukan badminton kebangsaan.

Tidak pilih kasih

Dalam pada itu, Frost juga menegaskan beliau sentiasa terbuka untuk mengambil pemain bebas sekiranya mereka menampilkan kualiti permainan diharapkan.

Dan beliau tidak menolak kemungkinan akan melakukan pertukaran pada saat-saat akhir sekiranya perlu.

Pemain bebas, Mohamad Arif Abdul Latiff dan Iskandar Zulkarnain adalah antara 20 pemain yang terpilih menganggotai skuad negara pada Sukan Sea 2015 kali ini.

“Arif telah menampilkan prestasi memberangsangkan dalam acara perseorangan lelaki dalam kejohanan yang disertainya sejak Januari tahun ini.

“Jika mereka memiliki kualiti, mereka layak berada dalam pasukan,” Katanya yang memberitahu Datuk Lee Chong Wei akan beraksi dalam acara berpasukan sahaja pada temasya kali ini.

Keputusan itu katanya dibuat kerana BAM bercadang untuk menghantar bekas pemain nombor satu dunia itu menyertai kejohanan Grand Pix (GP) Emas Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada 16 hingga 21 Jun ini.

“Chong Wei perlu beraksi dalam kejohanan yang menawarkan ranking dan sebab itu dia hanya disenaraikan dalam acara berpasukan sahaja,” katanya.-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");