PERSATUAN Bola Keranjang Malaysia (MABA) bercadang menswastakan Liga Bola Keranjang Kebangsaan Malaysia (MNBL) dalam usaha mengurangkan kos pengurusan serta meningkatkan prestasi liga ke skala lebih besar.
Persatuan berhasrat untuk membawa masuk penganjur ‘pihak ketiga’ bagi tujuan tersebut.
Setiausaha Agung MABA, Chey That Woon berkata, dengan menswastakan liga, persatuan menjangka penganjur swasta dapat menarik lebih banyak kelab dan pemain tempatan untuk terlibat dalam sukan itu.
Beliau berkata, langkah itu boleh dianggap penting dalam usaha menganjurkan pertandingan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Penswastaan juga akan membantu mengurangkan kos MABA dalam mengekalkan pemain negara apabila kelab akan menyerap kos apabila pemain mewakili kelab-kelab tertentu semasa perlawanan liga,” katanya kepada Bernama.?
That Woon berkata, pada masa ini, MABA setiap hari terpaksa menyediakan latihan, tempat tinggal dan elaun kepada pemain kebangsaan melibatkan kos kira-kira RM1.8 juta setahun.
“Mereka menjalani latihan sesama sendiri tetapi tidak cukup pertandingan kompetitif dan Malaysia ialah satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mengamalkan sistem ini,” katanya.
Beliau berkata, persatuan terpaksa menganjurkan MNBL yang diadakan setiap tahun dan kali terakhir liga itu diadakan ialah pada 2013.
Liga tersebut terpaksa ditunda pada 2014 selepas tarikh kejohanan itu bertembung dengan Liga Bola Keranjang Asean (ABL).
“Sekali lagi, nasib liga itu belum pasti kerana MABA masih gagal untuk menarik pasukan-pasukan atau kelab yang mencukupi untuk menyertainya kerana tarikh kedua-dua kejohanan itu bertembung,” katanya.
Skuad bola keranjang Malaysia, berada dalam kedudukan ke-52 (lelaki dan wanita digabungkan) dalam ranking dunia 2014 dan ranking kesembilan di Asia.
Malaysia suatu ketika dahulu pernah menjadi gergasi bola keranjang di rantau ini, selepas layak ke Piala Dunia 1986 di Sepanyol dan skuad wanita negara memegang rekod merangkul tujuh pingat emas berturut-turut pada Sukan SEA 1977 hingga 1989.
Pada Sukan SEA, Malaysia merangkul sejumlah 14 pingat emas dengan 13 daripadanya menerusi pasukan wanita pada 1977, 1979, 1981, 1983, 1985, 1987, 1989, 1993, 1997, 2001, 2003, 2007 dan 2015, manakala skuad lelaki hanya meraih emas pada edisi 1989 di Kuala Lumpur. – Bernama