Jenayah

Cermin kereta pecah kena baling

KUALA PILAH – Sebuah keluarga dari Felda Lui Timur, Jempol, terkejut apabila cermin hadapan kenderaan mereka sebelah pemandu retak gara-gara dibaling objek keras didakwa sebiji batu.

Kejadian itu berlaku jam 10 malam ketika Miswan Simon, 60, memandu kereta Honda Civic bersama lima ahli keluarganya di jalan Kuala Pilah – Batu Kikir berhampiran Desa Bukit Gelugor, malam 21 Jun.

Menurutnya, ketika kejadian mereka dalam perjalanan dari Seremban untuk pulang ke rumah di Felda Lui Timur.

“Sampai di situ, ada benda macam batu datang dari sebelah kanan ladang kelapa sawit, kena tepat di cermin hadapan sebelah tempat pemandu dan cermin kereta saya pecah,” katanya.

Miswan berkata, dia cuba memberhentikan kenderaannya untuk melihat apa yang berlaku namun dihalang anaknya kerana bimbang ia taktik penjenayah untuk melakukan rompakan.

“Kita selalu tengok kes macam ni dimuat naik di media sosial. Mungkin ini satu helah pencuri.

“Kami teruskan perjalanan dan syukur kami semua selamat,” katanya.

Miswan telah membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, berhubung kejadian itu.

Menurutnya, semasa membuat laporan polis, ada anggota memberitahunya, IPD Kuala Pilah juga menerima laporan kes sama berlaku hanya beberapa jam sebelum kejadian menimpanya sekeluarga.

“Di FB Kuala Pilah Group pun ada disiarkan kes seperti ini. Saya difahamkan terdapat tiga kes yang sama berlaku pada malam itu.

“Saya harap perkara ini tidak berulang lagi dan mohon kepada pihak berkuasa menyiasat kes ini bimbang ia satu jenayah boleh membawa padah kepada pengguna jalan raya,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");