Membawang Hari Ini

Exorcism papar kehendak cinta

TIDAK ada perkara seperti hantu! Itulah yang sejumlah besar orang percaya. Bagaimanapun, terdapat banyak orang lain yang berfikir sebaliknya.

Pembukaan kisah Exorcism; Haunted Child menggunakan teknik imbas semula di mana pengarah memaparkan tentang petugas bilik mayat yang terpaksa menghantar mayat seorang wanita ke bilik mayat di tengah malam.

Mereka diganggu oleh hantu wanita berambut panjang mengurai dengan wajah menyeramkan. Ada debar yang mampu diserapkan ke dalam emosi penonton meski pun adegan seterusnya telah dapat diduga dengan gangguan-gangguan klise.

Babak petugas bilik mayat diganggu tergantung di situ dan cerita disambung dengan susulan babak di mana seorang pengarah wanita bernama My Lan ditugaskan ke sebuah sekolah drama baru untuk pengajian pengarahannya.

My Lan dibenarkan tinggal di sebuah bilik prop yang terletak di bumbung sekolah tersebut. Pada hari pertama, para pelajar telah memberikan amaran mengenai hantu yang tinggal di bumbung sekolah itu.

Berpendirian tegas dan berani, My Lan mengabaikan cerita tersebut dan meneruskan harinya seperti biasa sehinggalah dia benar-benar diganggu seperti diceritakan para pelajar barunya.

Babak diteruskan dengan paparan kehidupan pasangan muda, Khuong Duy dan Thien Tam yang sedang berhibur di kelab malam. Dalam perjalanan pulang Thien Tam mengadu dirinya hamil dan mahu Khuong Duy bertanggungjawab.

Ketika bertikam lidah, kekasihnya itu hilang kawalan, lalu melanggar seorang pejalan kaki. Akibat ketakutan, Khuong Duy meninggalkan pejalan kaki tersebut bersama-sama kekasihnya Thien Tam yang sedang terbaring atas jalan raya.

Setelah sampai di rumah, pintu biliknya diketuk dan Khuong Dung mendapati itu adalah Thien Tam. Namun kehidupan mereka tidak tenang sehinggalah terbongkar satu misteri yang memberi tamparan hebat kepada Khuong Dung.

Seram jadi lucu

Naskhah berbahasa Vietnam ini sememangnya mempunyai mesej tersendiri. Namun garapan yang terlalu bercirikan imbas semula boleh membuatkan penonton keliru dan terpaksa berfikir banyak kali untuk memahami motif utama cerita.

Babak awal perlu dikaitkan dengan kesudahan cerita, namun di akhir cerita barulah penonton akan faham siapa yang mengganggu petugas di awal cerita dan kesemua watak serta babak adalah saling berkaitan.

Meski pun pengarah meletakkan filem ini sebagai genre seram, penulis merasakan ia sebenarnya lebih kepada kecelaruan emosi yang tidak ketahuan.

Pada satu babak penonton ketawa berdekah-dekah kerana watak utama yang ketakutan, pada satu babak pula penonton seakan ingin menangis menyaksikan hantu yang tidak boleh terima bahawa ia telah mati sedangkan ia terlalu ingin hidup bersama lelaki yang dicintainya. Plot komedi mendominasi rasa seram.

Begitu pun bagi peminat siri filem yang menggunakan tajuk Exorcism, filem dari Vietnam ini bukanlah seperti yang anda harapkan dan tidak sengeri kisah benar dalam filem Exorcism of Emily Rose yang ditayangkan pada tahun 2005.

EXORCISM: HUNTED CHILD

PENGARAH: BA VU
PELAKON: KIM TUYEN, BANG KHUE, HO VINH ANH
GENRE: SERAM
DURASI: DUA JAM
KLASIFIKASI: P13
TAYANGAN: 25 JUN 2015
KESELURUHAN: *** BESTLAH

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");